Kemelut Politik: ABIM gesa agar Akta Pelucutan Ahli Parlimen digubal
Fareez Azman
Oktober 18, 2020 14:27 MYT
Oktober 18, 2020 14:27 MYT
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) hari ini mengulangi gesaan agar satu undang-undang dapat digubal bagi menghalang polemik politik terus berlarutan dalam memastikan kestabilan politik di negara ini.
Menurut Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, Akta Pelucutan Ahli Parlimen 2015 seperti yang digunakan di United Kingdom dilihat boleh dijadikan sebagai contoh terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik sedia ada.
"ABIM mengetengahkan contoh The Recall of MPs Act 2015 di UK (Akta Pelucutan Ahli Parlimen) sebagai model, sekiranya undian petisyen untuk memaksa seseorang ahli Parlimen meletakkan jawatan mencapai kadar jumlah tertentu yang ditetapkan, maka seseorang Ahli Parlimen wajib letak jawatan dan Pilihan Raya Kecil bakal diadakan.
"ABIM menegaskan perebutan kuasa yang berlaku berpunca dari pengkhianatan mandat rakyat terutama ketika berlakunya "Langkah Sheraton" yang jelas menampakkan bahawa suara rakyat yang diterjemahkan menerusi pilihan raya umum telah dipijak dan diperlekeh oleh mereka yang mementingkan survival kekuasaan semata-mata," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Justeru ABIM ujarnya berpendapat seluruh ahli politik seharusnya bertanggungjawab atas kestabilan politik yang berlaku sebagai komitmen mengutamakan kepentingan rakyat.
"Mengambil inisiatif bersama untuk menggubal undang-undang bagi menghalang gejala mempermain mandat rakyat daripada berulang kembali. Ini termasuklah menggubal dan meminda undang-undang untuk memberi kuasa kepada pengundi di sesuatu kawasan untuk melucutkan Ahli Parlimen.
"Menerusi mekanisme tertentu seperti petisyen dan pungutan suara atau mana-mana mekanisme bersesuaian sekiranya Ahli Parlimen gagal menghormati mandat yang diberikan menerusi pilihan raya atau terlibat dengan sebarang perlakuan yang melanggar undang-undang negara," katanya.
Saranan itu jelas Muhammad Faisal setidaknya akan memberi kuasa yang lebih besar kepada rakyat untuk berperanan bagi mengelakkan permainan mandat rakyat kembali berulang.
#ABIM
#pilihan raya kecil
#Pelucutan Jawatan
#ahli Parlimen
#polemik politik
#COVID-19
#letak jawatan
#Gesaan ABIM
#Akta Pelucutan Jawatan
#Pengubalan Undang-Undang
#undang-undang
#rakyat
#kerajaan
#parti politik
#Pandemik COVID-19