Kemelut MIC: Keputusan Mahkamah berpihak kepada semua - Saravanan

Astro Awani
Mei 13, 2015 08:00 MYT
Datuk M. Saravanan (tengah) berkata pihaknya mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membenarkan permohonan lima pemegang jawatan MIC untuk menangguhkan keputusan RoS.
Naib Presiden MIC, Datuk M. Saravanan hari ini berkata pihaknya mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi semalam, untuk membenarkan permohonan lima pemegang jawatan MIC untuk menangguhkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang mengarahkan pemilihan semula parti itu sehingga merit permohonan mereka untuk mencabar arahan tersebut didengar pada 27 Mei ini.
Beliau berkata keputusan itu adalah ‘baik’ untuk MIC kerana ia memihak kepada semua orang dan ‘menyelamatkan’ MIC daripada dibatalkan pendaftarannya.
“Ahli-ahli MIC tidak perlu risau mengenai perintah ini. Saya percaya perintah ini mengikut peraturan dan perlembagaan. Dan kami mengalu-alukan keputusan ini.
“Kami tidak akan merayu keputusan yang dibuat oleh Yang Arif Hakim, buat masa ini,” katanya semasa satu sidang media di ibu pejabat MIC, di sini, hari ini.
Naib Presiden MIC, Datuk M. Saravanan ketika mengadakan sidang media hari ini - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Beliau juga meminta semua ahli-ahli MIC untuk bersabar sehingga 27 Mei.
“Kalau keputusan mahkamah berpihak kepada mereka, tidak akan ada pemilihan semula. Sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada kita, akan ada pemilihan semula. Itu sahaja,” katanya.
Sementara itu, Saravanan berkata semalam satu mesej pesanan ringkas (SMS) telah dihantar kepada ahli-ahli MIC, kononnya daripada Presiden MIC, Datuk G. Palanivel yang mengarahkan mesyuarat diadakan seperti biasa ekoran keputusan mahkamah itu.
“Kita tidak tahu siapa yang mengeluarkan SMS itu yang menyatakan Presiden akan adakan mesyuarat.
“Dari segi dasar, saya percaya kita tidak boleh adakan sebarang mesyuarat dalam tempoh masa dua minggu sehingga perkara ini didengar di peringkat mahkamah pada 27 Mei.
“Peguam saya telahpun menghantar satu surat kepada peguam lain untuk menyatakan jangan adakan sebarang mesyuarat sehingga perkara ini deselesaikan di mahkamah,” katanya.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Asmabi Mohamad membenarkan permohonan lima pemegang jawatan MIC iaitu anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) A. K. Ramalingam, dua orang Naib Presiden MIC iaitu Datuk S. Sothinathan, Datuk S. Balakrishnan, bekas Setiausaha Agung MIC, A. Prakash Rao dan Palanivel, untuk penangguhan arahan ROS sementara selesai mendengar permohonan bagi semakan kehakiman.
#MIC #Palanivel #ros #Saravanan