Kemelut MB Selangor: Azmin minta pemimpin, ahli PKR bertenang

Astro Awani
September 8, 2014 09:01 MYT
AZMIN: Semua pemimpin dan anggota parti PKR diminta bertenang dalam menghadapi keributan kedudukan MB Selangor.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali menggesa semua pemimpin dan anggota parti itu supaya bertenang dalam menghadapi keributan kedudukan Menteri Besar Selangor.
Beliau meminta mereka untuk tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan suasana politik, sebaliknya yakin bahawa pimpinan PKR akan mengatasi kesukaran itu "dengan pengalaman dan dengan semangat muafakat dalam parti dan Pakatan Rakyat".
"(PKR) komited dengan Pakatan Rakyat. Perpaduan Pakatan Rakyat perlu diperkukuhkan.
"Justeru itu, saya berharap pimpinan dan anggota tidak melatah, sebaliknya sentiasa berhemah, tenang dan berhikmah dalam semua keadaan. Insya Allah kita akan menggunakan kebijaksanaan untuk menjernihkan kekeruhan sekarang," katanya dalam satu kenyataan.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat membuat kenyataan terbuka menegaskan bahawa kemelut di Selangor itu berpunca daripada kerenah PKR dan bukannya kerana keengganan PAS menerima pencalonan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar.
Katanya, PAS menolak Wan Azizah sebagai calon menteri besar kerana isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu "tidak layak memimpin" dan bukan kerana beliau seorang wanita.
PAS awal bulan ini mengemukakan tiga nama seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor manakala PKR dan DAP mengemukakan calon tunggal iaitu Wan Azizah.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini melahirkan rasa kecewa dengan tindakan PKR dan DAP yang ingkar titah baginda supaya mengemukakan lebih daripada dua nama untuk dipertimbangkan sebagai menteri besar.
"Tindakan parti DAP dan PKR ini menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor," kata Sultan Selangor melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulitnya Datuk Mohamad Munir Bani, hari ini.
Baginda juga tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan nama ADUN lain daripada Pakatan Rakyat yang layak untuk dilantik menerajui Selangor.
PAS sebelum ini mengumumkan mendukung Azmin sebagai calon kedua selain Wan Azizah. ADUN Bukit Antarabangsa itu bagaimanapun menolak pencalonan itu dan menyatakan sokongannya kepada keputusan PKR yang mengangkat nama Wan Azizah kepada Sultan Selangor.
Dalam kenyataan medianya, Azmin menegaskan dasar PKR yang mendukung sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sebagai salah satu tunggak kerajaan.
#Azmin Ali #Menteri Besar Selangor #PKR