Kemelut MB Perlis dianggap selesai - ADUN

Salim Aziz
Jun 5, 2018 17:08 MYT
Kesemua sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) Perlis yang memulaukan pelantikan Azlan (duduk), memohon ampun kepada Raja Perlis menerusi satu sidang media di Perlis. - Gambar fail Bernama
Kesemua sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang pada mulanya memboikot istiadat pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar telah menyatakan sokongan dan akur dengan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Sehubungan itu, kemelut pelantikan jawatan nombor satu negeri tersebut yang berlarutan sejak hampir sebulan lalu, kini dianggap berakhir.
Perkara berkenaan didedahkan sendiri oleh ADUN Titi Tinggi, Teh Chai Ann yang mengakui pendirian itu diputuskan oleh kesemua lapan ADUN kecuali ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang pernah dinamakan sebagai calon Menteri Besar.
Menurutnya, mereka hanya menjunjung titah Tuanku dan mementingkan rakyat bagi memanfaatkan negeri Perlis untuk maju.
“Memang kes ini sudah selesai kerana kita menjunjung titah Tuanku, hal peribadi sendiri itu tidak mustahak yang paling mustahak ialah rakyat negeri Perlis.
“Kami mahu negeri tersebut maju, jadi kita harus tolak tepi hal peribadi sendiri kerana sesebuah negeri yang maju mempunyai satu perjalanan yang panjang,” ujar Teh Chai.
Tambahnya, pelantikan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), akan dibuat dalam masa terdekat.
Kesemua sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) Perlis yang memulaukan pelantikan Azlan, memohon ampun kepada Raja Perlis menerusi satu sidang media di Perlis.
Permohonan ampun itu diketuai oleh Setiausaha BN Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin bersama tujuh lagi wakil rakyat UMNO.
Bagaimanapun ketika itu mereka dilaporkan tetap menolak Azlan sebagai Menteri Besar negeri berkenaan.
#ADUN #Barisan Nasional #Datuk Zahidi Zainul Abidin #Exco #Menteri Besar #Perlis #Tuanku Syed Sirajudin Putra Jamalullail
;