Kembalilah ke pangkuan UMNO sebelum terlanjur - Syed Ali
Astro Awani
Mac 29, 2016 19:40 MYT
Mac 29, 2016 19:40 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dinasihat supaya kembali ke pangkal jalan demi kepentingan parti dan orang Melayu.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata Muhyiddin dan Mukhriz diharap segera berpatah balik kepada parti sebelum mereka berdua pergi lebih jauh mengkritik parti.
"Tindakan bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar Kedah itu berada di pentas pembangkang hanya memudaratkan perpaduan dan menjejaskan kestabilan parti.
"Sebelum terlanjur, ikhlas saya nasihatkan agar Muhyiddin dan Mukhriz kembalilah ke pangkal jalan; saya percaya mereka masih sayangkan UMNO," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Bagaimanapun, kata Syed Ali, Muhyiddin dan Mukhriz tidak boleh menyalahkan pihak tertentu atau menunding jari kepada UMNO jika akhirnya tindakan disiplin dikenakan terhadap mereka termasuk pemecatan sebagai ahli parti.
Syed Ali menjelaskan, tindakan Muhyiddin dan Mukhriz berada di pentas pembangkang jelas bertentangan dengan etika parti kerana mereka berdua masih lagi menjadi ahli parti yang sah.
"Oleh sebab itu, sebelum terlanjur lebih jauh, saya amat berharap mereka berdua agar kembalilah semula bersama UMNO.
"Saya juga kecewa kerana Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini pernah menjadi Presiden UMNO tergamak bersekongkol dengan pihak pembangkang untuk menumbangkan parti dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Inilah (UMNO dan kerajaan BN) yang Dr Mahathir kuasai suatu masa dulu, lebih 22 tahun, tetapi hari ini dia bersama pembangkang untuk menumbangkannya," ujarnya.
Tegas Syed Ali, perkara itu tidak seharusnya terjadi kepada Dr Mahathir.
"Sebagai mantan presiden parti, saya sedih melihat Dr Mahathir kini berganding bahu dengan pembangkang, ini tidak sepatutnya terjadi kepada seorang bekas perdana menteri.
Syed Ali juga tidak menolak kemungkinan Dr Mahathir sekadar dijadikan perkakas oleh parti pembangkang terutama DAP yang sememangnya berusaha untuk menumbangkan UMNO.
"Barangkali tanpa sedar, Dr Mahathir dijadikan alat oleh pihak berkepentingan untuk menyingkirkan Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
"Saya turut berharap Dr Mahathir akan kembali semula ke pangkuan UMNO walaupun sudah mengisytiharkan dirinya keluar parti baru-baru ini," jelasnya.
Syed Ali, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, berasa dukacita kerana rakyat melihat tindak-tanduk Dr Mahathir jelas bertentangan dengan prinsipnya yang selama ini amat memusuhi DAP.
"Rakyat terutama orang Melayu tahu selama menjadi presiden parti dan perdana menteri, Dr Mahathir amat memusuhi DAP, tetapi hari ini berlaku sebaliknya," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali berharap orang Melayu terutama ahli-ahli UMNO kembali bersatu bagi menghadapi ancaman yang lebih besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
"PRU akan datang bakal menentukan untung nasib orang Melayu dan UMNO sama ada akan kehilangan kuasa atau sekadar mejadi penonton melihat teraju pemerintahan negara bertukar tangan.
"Kita tidak rela melihat kuasa politik orang Melayu terlucut angkara dendam kesumat, sikap kebencian melampau dan enggan bertolak ansur hanya kerana agenda politik yang tidak kesampaian.
"Selagi orang Melayu berpecah dan bergeseran sesama sendiri ianya membuka lebih ruang kepada pihak tertentu untuk menghancurkan perpaduan Melayu terutama UMNO," tegasnya.
Pihak berkenaan katanya, amat membenci dan memusuhi UMNO yang selama ini bertunjang kepada teras perjuangan membela nasib rakyat terutama orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
"Ahli-ahli parti disemua peringkat seharusnya sedar betapa keghairahan pihak pembangkang untuk menghancurkan UMNO kerana dengan cara itu mereka berupaya melenyapkan kuasa politik dan ketuanan Melayu," tegasnya.