Kembali pada UMNO: Syarat Tun Mahathir hanyalah sekadar alasan - Ahmad Zahid

Umavathi Ramayah
Februari 19, 2021 16:22 MYT
Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, tindakan Mahathir yang meletakkan syarat untuk kembali hanyalah sekadar alasan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan kesediaannya untuk kembali kepada UMNO menggambarkan Ahli Parlimen Langkawi itu sudah hilang hala tuju dalam memperjuangkan kepentingan politik peribadi dan kroni-kroninya selepas gagal menjadi perdana menteri ketujuh.
"Presiden Parti Pribumi Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah memecatnya. Pakatan Harapan tidak lagi mempedulikannya. Perikatan Nasional (PN) juga tidak luluskan pendaftaran parti baharunya.
"Makanya perlu cari 'perumah' lain atau setidak-tidaknya kembali kepada 'perumah lama' untuk terus mendapatkan manfaat 'nutrisi'," katanya dalam perkongsian di Facebooknya, hari ini.
BACA: Saya boleh kembali kepada UMNO... jika... - Tun Mahathir
BACA: Tun Mahathir kesal letak jawatan Perdana Menteri pada 2003
"Tiba-tiba kelmarin Tun Mahathir buat 'u-turn' paling drastik menyatakan beliau masih sayang UMNO dan bersedia kembali kepada UMNO.
"Tetapi kononnya dengan syarat UMNO perlu kembali berjuang untuk bangsa, negara dan agama.
"Bagaimana agaknya perasaan penyokong dan pemimpin parti Pejuang lain mendengar kata-kata Tun Mahathir ini? Semoga tiada gua berhampiran mereka," kata Ahmad Zahid.
Walau bagaimanapun, Ahmad Zahid memberitahu, tindakan Mahathir yang meletakkan syarat untuk kembali hanyalah sekadar alasan.
"UMNO tidak pernah seinci berkalih daripada dasar perjuangannya.
"Ia cuma argumentasi atau dalih untuk menjustifikasikan kehendak kembali kepada parti keramat ini," katanya.
Katanya, sejarah 2018 membuktikan siapa yang sebenarnya tidak lagi berpegang kepada dasar bangsa, negara dan agama demi kepentingan politik kendiri.
"Persoalan seterusnya yang menimbulkan tanda tanya besar siapakah rombongan demi rombongan yang datang minta beliau buat sesuatu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan UMNO ketika itu?" soalnya.
Pada Rabu, Tun Mahathir berkata beliau sedia kembali ke pangkuan UMNO sekiranya parti itu kembali berpegang kepada dasar awalnya iaitu berjuang untuk bangsa, negara dan agama.
“Saya boleh kembali kepada UMNO tapi orang yang 'penyangak-penyangak' semua minta maaflah, saya tak boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya.
Tun Mahathir akui masih sayang UMNO
#Bersatu #Ahmad Zahid Hamidi #Tun Mahathir Mohamad #Politik Malaysia #Perdana Menteri #Perikatan Nasional #Pakatan Harapan
;