Kembali ke UMNO: "Tidak mengapalah, kita duduk di luar dahulu..." - Shahril

Ridauddin Daud
Jun 13, 2023 21:59 MYT
Keputusan itu dinyatakan mereka dalam rancangan podcast Keluar Sekejap di sebalik cadangan beberapa pemimpin UMNO yang mahu mereka kembali kepada parti itu. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bekas ahli UMNO, Khairy Jamaluddin dan ahli parti yang digantung, Shahril Sufian Hamdan menegaskan buat masa sekarang, mereka sudah ‘move on’ daripada parti itu.
Bagi Shahril, dalam keadaan dan situasi semasa, agak sukar buatnya kembali kepada parti itu namun menegaskan pintu buat UMNO masih belum tertutup.
BACA: KJ, Noh dipecat, Hishammuddin, Shahril digantung keahlian UMNO
“Tidak mengapalah, kita OK, kita duduk di luar dan boleh teruskan dengan apa yang Presiden dan kepimpinan rasa terbaik.
“Saya tak sombong tetapi itu adalah pandangan daripada rakan dan pada saya, anda tidak boleh ubah apa yang telah dilakukan.
“Tak mengapa, kalau mereka nak kami ‘move on’, kami ‘move on quietly and respectfully’,” katanya.
Keputusan itu dinyatakan mereka dalam rancangan podcast “Keluar Sekejap” di sebalik cadangan beberapa pemimpin UMNO yang mahu mereka kembali kepada parti itu.
Dalam pada itu, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO mempunyai pendapat yang sama dengan Shahril.
BACA: PAU2023: 'Tak salah terima semula ahli UMNO dipecat' - Dr Akmal
We have to move on. Ada yang kata ‘move on’ tanpa kita, kita pun rasa keputusan dah dibuat.
“Kita pun tak tahu kenapa kita dipecat. Nak minta kita rayu, tiada gunanya,” ujarnya.
Astro AWANI pada Januari lepas melaporkan, Khairy dipecat daripada UMNO selepas keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.
Dalam mesyuarat itu juga, Shahril Sufian digantung keahliannya selama enam tahun.
Baru-baru ini dalam Perhimpunan Agung UMNO 2023, beberapa pemimpin, terutamanya dari kalangan Pemuda UMNO membangkitkan cadangan agar ahli yang dipecat atau digantung kembali membantu parti itu.
#Khairy Jamaluddin #Shahril Sufian Hamdan #UMNO #Keluar Sekejap
;