Kembali ke PAC atas reformasi, bukan soal pusingan U - Nurul Izzah

Dewi Nur Harasha Alias
April 6, 2019 17:06 MYT
NURUL IZZAH: Yang penting adalah reformasi struktur, (iaitu) struktur yang jelas membenarkan berlakunya semak imbang. - Gambar fail/BERNAMA
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sekali lagi menegaskan keputusannya untuk kembali menyertai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) adalah atas agenda reformasi kerajaan dan bukan soal pusingan 'U'.
Kata beliau, reformasi dalam struktur pentadbiran kerajaan adalaah asas keutamaannya sebelum mengambil keputusan menyertai semula jawatankuasa tersebut.
Ujarnya, reformasi yang diusahakan kerajaan amat penting demi memastikan keadilan polisi kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.
"Yang penting adalah reformasi struktur, (iaitu) struktur yang jelas membenarkan berlakunya semak imbang.
"Maka sudah tentu saya bersedia dalam membantu melunaskan proses ini selagi ada struktur yang jelas," katanya selepas merasmikan Karnival Rakyat Permatang Pauh di Politeknik Permatang Pauh, pada Sabtu.
Sebelum ini Puteri Reformasi itu melepaskan tanggungjawab dalam Jawatankuasa PAC pada 22 Mac lalu dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan jawatankuasa berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mengambil keputusan menyertai semula PAC selepas berbincang dengan Ketua Whip kerajaan, Datuk Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.
Sehubungan itu, Nurul Izzah berkata, tidak timbul soal beliau membuat pusingan U kerana yang lebih penting adalah agenda reformasi untuk rakyat dan negara.
"Pada saya, yang penting kita melakukan sesuatu untuk memastikan adanya reformasi dari segi struktur dan institusi semak imbang. Proses semak imbang ini penting," katanya lagi.
#agenda reformasi kerajaan #Ahli Parlimen Permatang Pauh #Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara #Nurul Izzah Anwar #Nurul Izzah kembali anggotai PAC #pusingan u
;