Kemampuan kerajaan GRS tingkatkan hasil pengukur penting PRN

Bernama
September 9, 2024 23:30 MYT
ARMIZAN: Kutipan hasil itu terus meningkat kepada RM6.96 bilion pada 2022 dan dengan kestabilan politik melalui kerjasama GRS dan Pakatan Harapan (PH) Plus di negeri itu, momentum pencapaian peningkatan hasil negeri akan dapat diteruskan. - BERNAMA
DUBAI: Peningkatan hasil negeri sejak 2021 menjadi kayu pengukur penting untuk rakyat Sabah menilai prestasi kepimpinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata ini kerana kutipan hasil negeri itu sebelum ini tidak pernah melebihi RM4 bilion namun buat pertama kalinya pada 2021 berjaya mencapai RM5.4 bilion iaitu setahun selepas GRS mengambil alih pentadbiran.
"Kutipan hasil itu terus meningkat kepada RM6.96 bilion pada 2022 dan dengan kestabilan politik melalui kerjasama GRS dan Pakatan Harapan (PH) Plus di negeri itu, momentum pencapaian peningkatan hasil negeri akan dapat diteruskan.
"Hasil yang diperolehi kerajaan negeri itu dikembalikan kepada rakyat Sabah dengan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya yang akan memanfaatkan golongan berpendapatan rendah, peningkatan peruntukan biasiswa serta pemberian bantuan RM2,000 kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi," katanya kepada Bernama sempena Program Citarasa Malaysia (Taste of Malaysia) di Lulu di sini.
Beliau berkata usaha kerajaan GRS dalam membantu rakyat Sabah perlu diuar-uarkan kerana terdapat cubaan pihak tertentu membandingkan kepimpinan negeri itu dengan Sarawak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata beliau sedar ramai yang memuji keupayaan Sarawak dalam meraih hasil yang lebih besar, bagaimanapun Sabah menurutnya mempunyai potensi tersendiri terutama dari segi pelancongan, kekayaan khazanah alam, mineral, minyak dan gas.
"Ada pihak di Sabah juga menyatakan bahawa kita (Sabah) perlu lantang bersuara seperti Sarawak dalam hal melibatkan kerajaan Persekutuan tetapi ingin saya tegaskan kelantangan itu harus didatangi dengan politik yang stabil, solidariti yang kuat antara pemimpin, bukannya bergaduh sesama sendiri atau tuduh-menuduh.
"Ini kerana kelantangan semata-mata tanpa kuasa tawar-menawar (bargaining power) yang kuat kurang mendatangkan kesan. Sarawak kuat kerana mereka bersatu dan kuasa tawar-menawar mereka juga kuat kerana mereka hadir dalam satu suara dan solidariti para pemimpinnya melalui jumlah kerusi yang banyak sama ada di Parlimen mahupun dewan undangan negeri," kata Ahli Parlimen Papar itu.
Justeru, berbaki kira-kira setahun menjelang tamatnya penggal pentadbiran negeri pada November 2025, beliau berharap pemimpin Sabah dapat mengetepikan 'isu lama' serta perselisihan faham antara mereka bagi merintis landskap politik baharu yang memberikan jaminan kesejahteraan kepada rakyat.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai keterbukaan UMNO dan Warisan akhir-akhir ini untuk bekerjasama menentang GRS pada PRN nanti, beliau menyifatkan perkara itu sebagai bukan sesuatu yang pelik terutama dengan trend politik semasa di Malaysia dan luar negara.
"Terpulang kepada mereka (UMNO dan Warisan) untuk membuat keputusan namun GRS juga sudah bersedia. Saya berharap kerjasama sedia ada dengan PH dalam kerajaan negeri dapat diteruskan bagi menghadapi pilihan raya negeri.
"Dari segi calon walaupun belum dibincangkan, semestinya kita mahukan calon yang boleh menang, menggabungkan muka lama dan baharu kerana pola pengundian pada PRN lepas banyak dipengaruhi oleh pengundi muda, oleh itu perlu untuk kita ada pemimpin yang boleh diterima pelbagai segmen masyarakat termasuk golongan muda," katanya.
-- BERNAMA
#Pakatan Harapan #PRN #Warisan #UMNO
;