Kemah boh! Bahang PRN dirasai segenap pelosok Terengganu

Farhana Joni
Ogos 3, 2023 20:12 MYT
Memasuki enam hari kempen sempena #6NegeriMemilih, rata-rata masyarakat di Terengganu sedar kepentingan PRN kali ini. - Gambar Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Memasuki enam hari berkempen sempena #6NegeriMemilih, rata-rata masyarakat di Terengganu merasai bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) dari kibaran bendera pelbagai parti selain poster calon yang menghiasi jalan raya dan beberapa kenderaan.
Bagaimanapun, suasana kempen itu masih terkawal apabila masyarakat setempat tetap meneruskan aktiviti dan rutin harian mereka dengan bekerja atau berniaga seperti biasa.
Di Kuala Terengganu, dua pekerja sebuah kedai kopi 'hipster' memberitahu, kempen pilihan raya di situ turut mendapat sambutan baik dalam kalangan orang muda.
"Kebanyakan golongan muda di sini menghabiskan masa lapang dengan bersukan dan Alhamdulillah, pusat-pusat sukan sudah banyak dibuka di seluruh negeri.
"Selain itu, mereka juga sering menghadiri ceramah-ceramah agama dan politik, lebih-lebih lagi jika penceramah yang dijemput dalam kalangan ustaz yang terkenal," kata Tuan Muhammad Firdaus Tuan Abdul Razak, 20 tahun.
Sementara itu, rakannya, Syukri Syazwan, 18 tahun, pula memberitahu, walaupun masih dalam lingkungan umur remaja, dia tetap mengambil tahu isu semasa seperti perkembangan politik dan harga barang.
"Harga barang keperluan di sini selalunya kalau naik, akan naik secara mendadak dan kalau turun pun mendadak. Stok pula setakat ini mencukupi.
"Pernah beberapa bulan lepas bekalan telur tidak mencukupi sehingga terpaksa mencari di kedai yang agak jauh untuk kami guna dalam menu roti telur goyang, tetapi sekarang keadaan kembali macam biasa," katanya.
Syukri sendiri telah bekerja selama tujuh bulan di Kedai Kopi Buruk, Kuala Terengganu.
Sementara itu, peniaga kaki lima yang hanya ingin dikenali sebagai Rasyid berkata, walaupun tidak seberapa tetapi dia bersyukur dengan hasil pendapatan hariannya di Pantai Batu Buruk.
"Saya berniaga barangan tradisi seperti keropok lekor, sosej dan pelbagai jenis air minuman. Ramai yang berniaga macam saya dan bertahun-tahun sehingga ke anak cucu.
"Hasil memang tidak seberapa dan memang betul pendapatan ini seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang tetapi Alhamdulillah, sebab dapat bagi pelajaran kepada anak-anak dan bayar bil air api," katanya.
Rasyid turut mengharap, selepas ini lebih banyak aktiviti dijalankan di kawasan pantai itu.
Dalam pada itu, dua peniaga barangan kemas di Kedai Pasar Payang seperti biasa mula melayan pelanggan yang tidak putus-putus memasuki premis kedai mereka seawal 9 pagi.
"Alhamdulillah, masyarakat sekarang tidak kira tua atau muda sudah semakin celik dan faham mengenai kelebihan membeli serta menyimpan emas.
"Kami peniaga barangan kemas pun tidaklah mendapat untung yang tinggi daripada jualan emas, sebaliknya daripada kos upah sahaja," kata pemilik Kedai Emas dan Permata, Wahab Ali yang telah berkecimpung dalam perniagaan tersebut selama 30 tahun.
Pemilik Kedai Emas Layar Hati, Hamisah pula tetap bersyukur, walaupun kedainya telah berpindah dari Pasar Payang lama ke bangunan baharu kerana perniagaannya masih bertahan dengan pelanggan-pelanggan tetap.
"Saya jual belaka (semua), ada emas baharu ada juga emas preloved. Kalau emas baharu ada kos upah, kalau preloved tiada kos upah.
"Ramai pelanggan saya suka beli emas yang bersaiz besar dan rekaan unik," katanya yang memiliki empat cawangan di seluruh Kuala Terengganu.
#PRN #terengganu #Pasar Payang #kedai emas
;