Kem pada pemilihan parti budaya biasa - Nurul Izzah

Bernama
September 21, 2018 09:19 MYT
Pada pemilihan parti akan datang ini, Nurul Izzah akan mempertahankan jawatan naib presiden PKR. - Gambar fail
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengakui wujud beberapa kem dalam parti itu pada pemilihan PKR 2018 namun menganggap itu adalah budaya biasa.
Beliau bagaimanapun percaya Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR yang peranannya seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), akan menjalankan tugasnya dengan memantau perjalanan pemilihan PKR.
"Dalam setiap pertandingan memang akan wujud kem-kem bagi memenangkan pihak yang berkenaan dan saya rasa ini adalah perkara biasa, lagipun dalam PKR ada JPP yang akan memantau proses pemilihan.
"Saya juga percaya semua calon bertanding secara profesional serta menganjurkan majlis berjumpa dengan pengundi bukan untuk menyerang pihak lawan," katanya kepada pemberita selepas hadir forum terbuka bertemakan 'Kalis Masa Depan Sebuah Amanat' di sini malam tadi.
Pemilihan PKR akan bermula di Kedah dan Pulau Pinang Sabtu ini, melibatkan 105,056 layak mengundi. anggota. Kira-kira 800,000 anggota PKR di seluruh negara akan mengundi pada pemilihan yang akan berlangsung sehingga 28 Okt ini.
Pada pemilihan itu anggota akan memilih anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) termasuk timbalan presiden, naib presiden, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat dan ketua wanita pusat.
Anggota juga akan memilih pemimpin peringkat cabang iaitu ketua, naib ketua serta 15 anggota jawatankuasa (AJK).
Turut dipilih ialah ketua AMK, timbalannya, naib ketua dan 15 AJK AMK cabang.
Sementara itu, Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh dan akan mempertahankan jawatan naib presiden PKR, berkata majlis-majlis yang diadakan oleh calon bertanding pada pemilihan kaliini adalah untuk menjelaskan manifesto mereka dalam perjuangan parti.
"Saya anjurkan majlis sebegini adalah untuk memberitahu kepada anggota PKR tentang manifesto yang saya bawa, ada tiga yang saya mahu tekankan iaitu kalis masa depan, keadilan mempunyai kearifan lokal dikawasan kita wakili dan menjaga kebajikan bersaudara dalam keanggotan serta bukan keanggotaan," katanya.
Katanya beliau percaya anggota PKR bijak dan matang untuk memilih pemimpin dalam parti itu serta berharap mereka semua keluar mengundi pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan JPP PKR.
Pemilihan PKR kali ini juga mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya dilaksanakan menggunakan sistem e-undi (undi secara digital) serta mengguna pakai konsep 'satu ahli satu undi'.
-- BERNAMA
#budaya biasa #calon #digital #e-undi #Jawatankuasa Pemilihan Pusat #JPP #kem #Manifesto #Nurul Izzah Anwar #pemilihan parti #PKR #satu ahli satu undi #Suruhanjaya Pilihan Raya #undi
;