'Keluar parti sebelum dijatuhkan hukuman' - Pemuda UMNO Kedah
Wan Syamsul Amly
Oktober 16, 2016 11:00 MYT
Oktober 16, 2016 11:00 MYT
Bekas Exco Pemuda UMNO, Mohd Rafiq Naizamohideen sepatutnya keluar dari parti sebelum dijatuhkan sebarang hukuman dan bukan di dalam sebarang tempoh rayuan seperti dihadapinya sebelum ini.
Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, itu langkah terbaik yang harus dilakukan Mohd Rafiq sekiranya ada kesangsian terhadap perjuangan dan hala tuju parti.
"Tindakan ini membuktikan bahawa dia sendiri umpama tin kosong dan tidak mempunyai idealisme kesetiaan di dalam perjuangan UMNO.
"Mohd Rafiq sepatutnya lebih 'gentleman' selain bertindak atas dasar prinsip dan keluar UMNO sekiranya sudah tidak sehaluan di dalam perjuangan dan bukannya membuat keputusan selepas keputusan penggantungan.
"Kita juga yakin Mohd Rafiq langsung tidak ada asas pertuduhan yang kuat terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Harun yang dipercayai membuat unsur sabotaj terhadap dirinya sendiri," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Shaiful berkata demikian ketika mengulas tindakan Mohd Rafiq bersama 28 ahli UMNO yang mendakwa mempunyai jawatan di peringkat bahagian dan cawangan mengumumkan keputusan mereka untuk keluar dari parti pada Sabtu. Mohd Rafiq turut mendakwa Khairy tidak jujur sewaktu menyelar tindakan ganas anggota Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai kumpulan Baju Merah.
Menurutnya, Khairy sebagai Ketua Pemuda mengetahui bahawa kumpulan Gerakan Baju Merah turut terdiri daripada ahli-ahli Pemuda UMNO. Malah katanya, sesetengah dari ahli UMNO yang aktif dalam kumpulan itu termasuk mereka yang mempunyai jawatan dan dikenali ramai.
Dalam pada itu kata Shaiful, rintangan dan cabaran mengurus persepsi dan manusia di dalam politik adalah perkara biasa yang perlu ditangani dengan baik.
"Kita melihat Mohd Rafiq sedikit bersikap keanak-anakan dan tidak mempunyai daya tahan tinggi di dalam politik selain bertindak meletakkan kesalahan kepada orang lain," jelasnya.
Tegas Shaiful lagi, Pemuda UMNO Kedah turut mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan terbuka Mohd Rafiq terhadap kepimpinan Pemuda UMNO yang disifatkan membuat sokongan membabi-buta.
"Hakikatnya, Pemuda UMNO adalah hulubalang pelindung institusi parti. Kita sudah tentunya tidak akan berdiam diri apabila parti diserang dan Presiden di tohmah dan kita sama sekali tidak terkesan apabila disifatkan sbg macai atau balaci semata-mata bangkit mempertahankan Presiden dan parti.
"Mohd Rafiq seharusnya menelaah susur galur perjuangan Pemuda sebelum membuat apa-apa tuduhan dan kenyataan lama sebelum bertanding sebagai exco lagi.
"Kita juga ingin mempersoalkan keikhlasan dan prinsip Mohd Rafiq yang sama sekali tidak menyatakan pendirian ataupun teguran terhadap kepimpinan Pemuda UMNO di dalam setiap mesyuarat exco. Dia seharusnya menggunakan pentas institusi untuk melontarkan pandangan atau menegur pucuk pimpinan," ujarnya.
Shaiful turut beranggapan Mohd Rafiq adalah individu yang amat opportunis dan tidak ada roh perjuangan di dalam parti.
"Namun kita bersyukur dia mengambil keputusan yang tepat untuk keluar UMNO dan pada masa yang sama berkuranganlah gunting dalam lipatan di dalam perjuangan parti," katanya.
Pada awal September lalu, Lembaga Disiplin UMNO menggantung keahlian Mohd Rafiq selama enam tahun atau dua penggal pemilihan kerana didapati menghasut dan merancang melakukan sabotaj terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Idris Haron melalui satu program bicara bersama Tun Dr Mahathir Mohamad yang dicadangkan dianjurkan di Melaka pada tahun lepas.