Keluar parti: Rakyat boleh nilai, banding jasa Tun Mahathir dengan Hamidah - Pejuang Perak
Amirrul Rabbani
Ogos 11, 2022 15:04 MYT
Ogos 11, 2022 15:04 MYT
IPOH: Kenyataan Datuk Hamidah Osman yang menyerang Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung Gabungan Tanah Air (GTA) semalam adalah disifatkan sebagai melepaskan dendam dan nafsu amarah peribadi.
Ketua Pejuang Perak, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata GTA ditubuhkan atas dasar mahu menyelamatkan kelangsungan bangsa.
“Dakwaan Datuk Hamidah Osman terhadap Pengerusi Parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah lebih kepada serangan peribadi untuk melepaskan dendam dan nafsu amarah peribadi.
“Gerakan Tanah Air merupakan satu gerakan demi rakyat, negara dan agama Islam. Wujud atas kesedaran demi menyelamatkan kelangsungan bangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Mior Nor Haidir berkata rakyat boleh menilai jasa Dr Mahathir berbanding Bekas Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu yang pernah menjawat jawatan Exco Perak sebelum ini.
Katanya lagi rakyat juga tertanya-tanya sejauh mana isu Tanah Rizab Melayu yang dibawa Hamidah selama ini sama ada serius atau sebaliknya.
“Rakyat Negeri Perak sudah lama tertanya-tanya sejauh mana Isu tanah rizab Melayu yang dibawa oleh Datuk Hamidah Osman sejak penghujung tahun 2020 benar-benar serius untuk diselesaikan, atau hanya sekadar cakap-cakap retorik beliau semata-mata.
“Dulu kata nak saman Kerajaan Negeri Perak, sampai sekarang pun masih tak saman-saman lagi.
“Janganlah kerana peristiwa lalu, sepertimana yang berlaku semasa di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ia dipersalahkan pula kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Nasihat saya kepada Datuk Hamidah Osman, sudah-sudahlah menyalahkan orang lain di atas kelemahan diri sendiri. Pemimpin seharusnya berjiwa besar, mendahulukan kepentingan rakyat daripada diri sendiri,” tambahnya lagi.
Pada Rabu, media melaporkan Hamidah mengumumkan keluar parti selepas kecewa dengan keputusan Putra menyertai GTA pimpinan Dr Mahathir.
Hamidah dilaporkan mendakwa tindakan Ahli Parlimen Langkawi itu sebagai seorang yang hipokrit dan mahu menipu Orang Melayu melalui GTA demi kepentingan peribadi.
Hamidah juga mendakwa bekas Perdana Menteri itu tidak layak bercakap soal Tanah Rizab Melayu kerana statusnya sudah banyak dilepaskan sewaktu pemerintahan Dr Mahathir sebelum ini.
Hamidah mengumumkan penyertaannya ke dalam Putra pada 20 Ogos 2018 selepas keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada September 2017.
Pada November 2015, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemecatan Hamidah daripada UMNO selepas mendapat keputusan sebulat suara oleh Majlis Tertinggi parti berkenaan.
Pada 4 Ogos lalu, Tun Mahathir mengumumkan penubuhan GTA yang disertai Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Putra dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).