Kelantan umum 25 Sept cuti sempena PRK Pengkalan Kubor

Bernama
September 15, 2014 13:26 MYT
Langkah itu diambil bagi memudahkan penduduk kawasan itu menunaikan tanggungjawab kerana hari mengundi pada hari Khamis merupakan hari bekerja di negeri itu - Gambar Fail
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yacob mengumumkan cuti peristiwa pada 25 Sept ini sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.
Beliau berkata langkah itu diambil bagi memudahkan penduduk kawasan itu menunaikan tanggungjawab kerana hari mengundi pada hari Khamis merupakan hari bekerja di negeri itu.
"Pembuangan undi pada hari bekerja sememangnya menyulitkan pergerakan pengundi... melihat kepada kesukaran yang bakal dilalui, kerajaan negeri telah menghalusi dan mempertimbangkan permasalahan tersebut dan mengisytiharkan cuti pada hari tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebanyak 24,039 pemilih berdaftar bagi kawasan DUN Pengkalan Kubor yang terletak dalam kawasan Tumpat.
PRK Pengkalan Kubor akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.
Pada pilihan raya umum ke-13 lepas, Allahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.
#Ahmad Yacob #Kelantan #PAS #Pengkalan Kubor #PRK #UMNO