Kelab UMNO luar negara nyata sokongan kepada kepimpinan Najib
Bernama
Julai 2, 2016 08:03 MYT
Julai 2, 2016 08:03 MYT
Kelab UMNO Luar Negara hari ini menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri dan presiden parti.
Pengerusi kelab UMNO Kaherah Mesir Ahmad Taqiyuddin Al Fathy berkata kelab itu yang mewakili 82 kelab UMNO di seluruh dunia turut sebulat suara akan memastikan kelangsungan kepimpinan UMNO dalam mendapat kepercayaan daripada semua wakil kelab itu.
"Sudah tentu kami akan sokong kepada kepimpinan presiden yang sedia ada. Pastinya presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) melakukannya demi kesejahteraan parti.
Keputusan kepimpinan tertinggi parti itu memecat dua ahli UMNO itu dilihat adil kerana ada pihak cuba menjatuhkan parti orang Melayu ini," katanya pada Majlis Sambutan Kepulangan dan Iftar pelajar Malaysia luar negara.
Dalam pada itu Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata berkata pihaknya menerima surat sokongan itu sebagai pendapat dan suara kelab untuk dibawa ke mesyuarat UMNO nanti.
"Suara mereka (wakil kelab) tidak pernah dipinggirkan dan mereka adalah nadi UMNO di luar negara serta mereka ini merupakan pelapis kepimpinan yang pasti akan menerajui parti itu nanti," katanya.