Kelab UMNO luar negara harus tangkis dakyah pembangkang

Bernama
Disember 2, 2016 08:08 MYT
ANNUAR: Saya hendak tengok lebih ramai orang muda bangkit dan mempertahankan kerajaan.
Anggota Kelab UMNO luar negara hendaklah memainkan peranan yang lebih aktif dan menyeluruh bagi mengelakkan mahasiswa di luar negara terpengaruh dengan dakyah dan propaganda pembangkang yang cuba memburukkan negara, kata seorang pemimpin UMNO.
Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata anggota kelab UMNO mampu menangkis dakyah pembangkang kerana mereka boleh mempengaruhi golongan pelajar yang merupakan kalangan orang muda.
Beliau berkata kelab-kelab UMNO luar negara boleh menjadi jurubicara hal-hal negara terutamanya yang berkaitan dengan perjuangan bangsa dan bukannya semata-mata hanya sebagai satu kelab sosial atau kelab biasa.
"Saya mengharapkan kelab-kelab UMNO yang ada sekarang ini, selain daripada menjalankan tugas menjaga kebajikan pelajar Malaysia di luar negara, mereka hendaklah juga menjunjung tinggi dan menyambung aspirasi serta mendukung falsafah UMNO itu sendiri kerana mereka adalah pemimpin masa hadapan.
"Misalnya jika ada dalam kalangan generasi muda yang tersasar dari segi kefahaman dalam urusan kenegaraan dan sebagainya, mereka adalah orang yang terbaik untuk membetulkannya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bersama anggota Kelab UMNO Luar Negara sempena Perhimpunan Agung UMNO, di sini malam tadi.
Pada masa ini terdapat sebanyak 80 buah kelab UMNO luar negara iaitu di United Kingdom, Ireland, Indonesia, Mesir, Australia, Amerika Syarikat, New Zealand, Jerman, Rusia, Jepun, Jordan, Kanada, Korea Selatan, Pakistan dan Perancis.
Annuar berkata anggota kelab juga mampu berbahas dan memberi jawapan tentang pelbagai isu yang dibangkitkan di Malaysia seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana mereka juga merasai cukai seumpama itu melalui Cukai Nilai Tambah (VAT) di luar negara.
"Saya hendak tengok lebih ramai orang muda bangkit dan mempertahankan kerajaan," katanya sambil menambah kata anggota kelab hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan politik semasa negara supaya mereka mudah membantu orang muda memahami isu.
"Dalam dunia tanpa sempadan ini, kalau mereka di England sekalipun bukan bermakna mereka tidak boleh perjuangkan apa yang ada di Malaysia...semuanya kini berada di hujung jari," katanya.
Katanya anggota kelab boleh berkongsi informasi dan pandangan mereka mengenai negara, tanpa batas melalui laman sosial seperti Facebook, Twitter atau platform media sosial yang lain.
-- BERNAMA
#pau2016 #Perhimpunan Agung UMNO
;