Kelab Penyokong GPS sifatkan DAP Sarawak cakap tak serupa bikin

Munirah Mudzamli
Ogos 20, 2021 14:08 MYT
Chong Chieng Jen dibidas Kelab Penyokong GPS susulan kenyataannya pada Khamis yang menyalahkan GPS kerana tidak menyokong Shafie Apdal sebagai perdana menteri pertama daripada Malaysia Timur. - Foto BERNAMA
KUCHING: Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) membidas Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen yang mendakwa GPS memusnahkan impian untuk menyaksikan Perdana Menteri pertama dilantik daripada Sabah dan Sarawak
Menyifatkan tuduhan berkenaan bagaikan cakap tak serupa bikin, Kelab Penyokong GPS membangkitkan tindakan DAP Sarawak yang sudah jelas dari awal mencalonkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri bukannya Datuk Seri Shafie Apdal.
“Kami ingin bertanya kepada Chieng Jen, adakah sekarang ini DAP Sarawak masih menyokong Shafie, sedangkan Ahli Parlimen Semporna itu telah menarik diri dari pencalonan untuk memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sejauh mana umum mengetahui, siapakah yang telah dicalonkan oleh DAP, PKR, Amanah serta sekutu Pakatan Harapan (PH) lain sebagai calon Perdana Menteri? Adakah Shafie Apdal?” tegas Kelab Penyokong GPS dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelasnya, PH sendiri nyata tidak konsisten untuk mencalonkan pemimpinnya menjawat jawatan Perdana Menteri ke-9 tersebut.
“Apa yang Chieng Jen dan DAP lakukan adalah menyalahkan GPS atas kegagalan dan pertikaian antara mereka di dalam PH,” tambah kenyataan itu.
Pada Khamis, Chieng Jen dalam satu hantaran di facebook rasminya mengkritik GPS kerana menyokong naib presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbanding Shafie untuk menjadi perdana menteri Malaysia seterusnya.
Katanya Shafie mendapat sokongan bersyarat dari 105 penggubal undang-undang pembangkang dan akan memperoleh majoriti parlimen sederhana sekiranya GPS menyokongnya.
#Politik Malaysia #DAP #GPS #Chong Chieng Jen #Parti Warisan Sabah #Shafie Apdal #Anwar Ibrahim #Parti Keadilan Rakyat #Perdana Menteri #Sabah #Semporna #Amanah #Facebook #Malaysia #Pakatan Harapan #PKR #Parlimen #Warisan #Sarawak
;