Kekosongan exco negeri dibincang selepas PRK Seri Setia - MB Selangor
Wan Syamsul Amly
Ogos 7, 2018 15:25 MYT
Ogos 7, 2018 15:25 MYT
Pengisian kekosongan jawatan exco negeri Selangor selepas kematian Prof Dr Shaharuddin Badaruddin hanya akan ditentukan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata paling penting kerajaan negeri perlu mencari masa sesuai untuk majlis angkat sumpah exco akan datang.
"Saya kena bincang dengan kepimpinan dahulu siapa exco itu. Fokus kini diberi untuk PRK Seri Setia dan selepas itu kita akan bincang untuk menggantikan kekosongan.
"Buat setakat ini, saya masih pangku tugas itu tetapi kalau banyak tugasan berat, saya akan agihkan kepada exco berkenaan yang boleh memikul tanggungjawab yang ditinggalkan Allahyarham," katanya semasa sidang media selepas Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019 Siri Pertama - Pengembangan dan pembangunan pertanian di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.
Shaharuddin, yang juga anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor meninggal dunia pada 2 Ogos lepas di Hospital Putrajaya.
Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dan juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Shaharuddin dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN) Selangor selepas memenangi kerusi DUN Seri Setia pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Dalam pada itu kata Amirudin, PKR akan menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) DUN Seri Setia akan datang.
Tegasnya, ia selari keputusan Majlis Presiden PH yang diumum baru-baru ini.
#ADUN
#Amirudin Shari
#Pakatan Harapan
#Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019 Siri Pertama
#PKR
#Shaharuddin Badaruddin