'Kekang politik benci pemimpin UMNO' - Syed Ali
Astro Awani
Disember 23, 2016 17:13 MYT
Disember 23, 2016 17:13 MYT
Politik kebencian melampau terhadap kerajaan dan pemimpin UMNO yang diterapkan parti pembangkang kepada rakyat hanya merosakkan sistem nilai dan amalan demokrasi di negara ini.
Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, kebencian melampau jika tidak dikekang dikhuatiri akan merencatkan semangat perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan menjejaskan kestabilan negara.
"Walaupun sebahagian besar terutama orang Melayu tidak terpengaruh dengan perbuatan tersebut tetapi sedikit sebanyak ia boleh menghakis kebergantungan rakyat kepada sistem sedia ada.
"Kebencian melampau yang diterapkan menerusi serangan propaganda dan persepsi terhadap pemimpin UMNO terutama membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan sesuatu yang serius," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Katanya, pembangkang memainkan sentimen fitnah dan merekakan pelbagai cerita yang tidak ada untuk memburukkan pemimpin UMNO supaya tercetus kegelisahan dan kebencian umum.
"Dengan bantuan media sosial, sasaran fitnah terutama terhadap Najib telah diperbesarkan seolah-olah apa sahaja yang dilakukan Perdana Menteri tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat dan negara.
"Saya kecewa dan amat sedih kerana apa sahaja dilakukan oleh Najib yang juga Presiden UMNO telah ditafsirkan secara negatif yang sarat dengan andaian dan persepsi jahat.
"Memang asasnya adalah satu pembohongan, dusta dan fitnah tetapi apabila disensasikan secara terancang, akhirnya ia dilihat seolah-olah sebagai satu kebenaran," tegasnya
Najib ujar Syed Ali lagi, tidak akan melakukan sesuatu keputusan atau dasar sama ada membabitkan negara dan parti secara berseorangan malah terlebih dahulu mendapat pandangan serta keputusan secara kolektif.
"Pembangkang sememangnya mengetahui dan sedia makluman bahawa sesuatu keputusan dilakukan kerajaan akan dibuat secara bersama dan kolektif tetapi sengaja diputarbelitkan kerana agenda politik.
"Apabila rakyat mula mempercayai cerita tidak benar yang asasnya bersadurkan akar fitnah, lambat-laun orrang ramai berasa sistem nilai dan demokrasi negara ini sudah tercemar
"Tanggapan sedemikian adalah amat jelas sebagai tidak benar kerana UMNO dan kerajaan yang ada hari ini termasuk pembangkang bergerak atas landasan demokrasi dan perlembagaan negara," jelasnya.
Sehubungan itu tegasnya, UMNO tidak boleh memandang ringan gejala sedemikian kerana implikasinnya boleh mencorakkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
"Penerapan bibit-bibit kebencian bukan sahaja kepada rakyat dan akar umbi malah meresapi di kalangan golongan pelajar di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS)," ujarnya.
Menyedari perkembangan itu boleh memberi impak kepada kerajaan, beliau mahu jentera UMNO melipatgandakan usaha memberi penjelasan dan penerangan sejelas-jelasnya kepada rakyat dan kumpulan sasaran
"Kita (UMNO) perlu lebih bersikap terbuka, beritahu rakyat secara telus dan apa juga majlis kepartian membabitkan kepentingan umum dibuat secara terbuka, biar rakyat tahu apa yang kita buat.
"PRU akan datang tidak menjanjikan persekitaran yang selesa kepada UMNO walaupun kerajaan telah melakukan apa yang terbaik untuk kepentingan rakyat.
"Akan ada satu golongan yang tidak tahu berterima kasih dan golongan inilah yang mudah dirasuk oleh pembangkang dengan elemen kebencian melampau terhadap UMNO," tegasnya.