Kekalkan Tun M jadi PM sepenggal cadangan yang baik - Mukhriz
Rahimah Abdullah
Disember 30, 2018 15:15 MYT
Disember 30, 2018 15:15 MYT
Usul pembahas Bersatu untuk mengekalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri hingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) amat bertepatan, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Menurutnya, Dr Mahathir memerlukan ruang dan peluang yang cukup untuk melakukan penambahbaikan kepada negara berikutan kes rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku waktu pentadbiran terdahulu.
"Saya sendiri secara peribadi melihat cadangan itu suatu cadangan yang baik kerana seperti mana saya pernah dinyatakan, kita mewarisi kerajaan yang teruk.
"Nak memulihkan bukan satu perkara yang mudah. Jadi, seeloknya biarlah Tun Mahathir diberi ruang dan peluang seluasnya untuk memperbetulkan keadaan dahulu sebelum beliau menyerahkan kepada penggantinya," katanya semasa ditemui media di Pusat Media Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2018.
Mukhriz mengulas pendedahan portal berita tempatan yang memetik sumber bahawa salah seorang perwakilan Bersatu memberitahu bahawa terdapat usul agar Dr. Mahathir dibenarkan memegang jawatan itu sehingga PRU15.
Usul didakwa dibuat semasa sesi perbahasan ucapan Dasar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jelasnya lagi, cadangan seumpama itu perlu diambil kira sebelum suatu keputusan dicapai.
"Ini agak sensitif sikitlah sebab saya anak kepada Perdana Menteri, tetapi ada macam-macam cadangan dikemukakan pelbagai pihak.
"Tun sendiri pernah menyatakan ini bergantung kepada rakan-rakan dalam Pakatan Harapan dan pendirian rakyat," katanya.
Ditanya sama ada cadangan itu akan bertentangan dengan perjanjian dan persefahaman Pakatan Harapan untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dalam masa dua tahun, Mukhriz berpendapat ia tidak bertentangan.
"Apa yang saya tahu, ia tidak bertentangan, kerana kita masih melakukan perancangan untuk menjadikan Datuk Seri Anwar untuk menjadi pengganti Tun Dr. Mahathir.
"Isunya hanyalah masa. Jadi saya rasa apa yang penting ialah masa untuk memastikan matlamat tercapai atau tidak," ujarnya.
#Anwar Ibrahim
#Mahathir Mohamad
#Muhyiddin Yassin
#Pakatan Harapan
#Perdana Menteri
#perhimpunan
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#presiden
#rakyat