Kekalkan tarikh pemilihan parti, tawarkan kepada rakyat pimpinan baharu - KP UMNO Pagoh

Firdaus Azil
Januari 17, 2021 09:43 MYT
Keputusan pemilihan UMNO perlu bagi meyakinkan rakyat bahawa UMNO masih mempunyai barisan pemimpin yang berkaliber, kata Ketua Pemuda UMNO Pagoh Mohamad Fazli Mohamad Salleh. - Foto FB//Mohamad Fazli Mohamad Salleh
KUALA LUMPUR: Pimpinan pusat UMNO digesa untuk terus mengekalkan pemilihan parti yang dijangka akan berlangsung antara bulan Mei hingga Jun tahun ini.
Ketua Pemuda UMNO Pagoh Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, keputusan pemilihan parti perlu bagi meyakinkan rakyat bahawa UMNO masih mempunyai barisan pemimpin yang boleh ditonjolkan untuk menerajui negara.
Tanpa menidakkan kepimpinan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Fazli berkata, barisan kepimpinan yang baharu dan bersih dari sebarang belenggu penting, bagi menangani persepsi rakyat yang agak negatif terhadap parti itu ketika ini.
“Saya sebagai Pemuda UMNO merasakan isu (persepsi negatif) ini perlu dipandang dengan lebih teliti, perlu ada kajian. Andai kata tiada kajian sepanjang COVID ini, yang terbaik ialah pemilihan UMNO untuk melihat adakah ahli UMNO, iaitu perwakilan UMNO, selari dengan apa yang rakyat Malaysia mahukan.
“Apabila kita ke akar umbi, sama ada UMNO mahupun rakyat atas pagar, mereka kata mereka sayang UMNO. Cuma mereka mahukan kepimpinan itu dibarisi oleh orang yang lebih berkaliber, lebih segar, dilihat bersih. Itu yang kita cuba sampaikan,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
BACA: Muhyiddin belum tunjuk kemampuan teraju negara - Tun M
Mohamad Fazli antara sebahagian Ketua-ketua Pemuda UMNO Bahagian seluruh negara yang mahu perubahan dilakukan di peringkat pimpinan pusat.
Beberapa hari lepas, Ketua Pemuda UMNO Pontian Helmi Buang dilaporkan terus mempertahankan pendiriannya supaya Ahmad Zahid Hamidi berehat secara terhormat meskipun berdepan tindakan parti.
Beliau berkata, apa yang disuarakannya adalah pandangan peribadi mahu melihat parti itu kembali meraih kepercayaan rakyat dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Senada dengan Helmi, Ketua Pemuda UMNO Seremban Zool Amali Hussin berpandangan pengunduran itu perlu dilakukan pemimpin-pemimpin UMNO yang telah memegang jawatan selama berpenggal-penggal lamanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, peristiwa PRU 2018 harus dijadikan pengajaran, apabila barisan pembangkang ketika itu memberi tumpuan melakukan serangan terhadap keperibadian dan isu terhadap Presiden UMNO dan Perdana Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya khuatir apa yang berlaku pada PRU 2018, apa yang saya lihat serangan itu tertumpu kepada punca kuasa UMNO itu sendiri, Presiden UMNO. Dan ketika itu kita gagal urus persepsi dan akhirnya UMNO kalah pada pilihan raya.
“Dan saya nampak modus operandi (kali ini) yang sama juga digunakan, iaitu untuk menyerang Presiden UMNO. Saya harapkan dalam keadaan rakyat menyerang Presiden UMNO, kepimpinan yang ada yang saya nyatakan tadi Tok Mat Hasan (Timbalan Presiden) dan Ismail Sabri (Naib Presiden) mampu menjadi pengimbang kepada serangan itu,” katanya lagi.
#Pemuda UMNO #Pemuda UMNO Pagoh #Mohamad Fazli Mohamad Salleh #Pemilihan UMNO #Zahid Hamidi #Najib Razak #Astro Awani #presiden #pilihan raya umum #pilihan raya #rakyat Malaysia #rakyat #Malaysia #pembangkang #UMNO
;