Kekalkan Mohamad Sabu tepat, imbangi kekuatan PH - Pemuda Amanah

Irwan Muhammad Zain, Hasimi Muhamad
Disember 7, 2019 12:57 MYT
Walaupun Mohamad menduduki tangga ketujuh pada pemilihan AJK Nasional Amanah, namun permuafakatan sebulat suara untuk mengangkat Ahli Parlimen Kota Raja itu sebagai Presiden. - Bernama
Keputusan Ahli Jawatankuasa (AJK) Nasional Amanah mengekalkan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sebagai Presiden Amanah Negara (Amanah) bagi penggal 2019-2022 disifatkan sebagai pilihan yang tepat.
Menurut Ketua Pemuda Amanah, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, prestasi yang dipamerkan Mohamad mampu mengangkat nama parti Amanah untuk terus dipercayai rakyat, selain mengimbangi kekuatan dalam PH.
“Mereka (Presiden dan timbalan Presiden) mempunyai nama besar dalam kepimpinan Pakatan Hadapan (PH) nasional.
“Sudah tentu nama ini perlu diangkat dan dikekalkan supaya ia terus mengimbangi kekuatan daripada parti-parti lain,” katanya kepada Astro AWANI, pada Sabtu.
Katanya, walaupun Mohamad menduduki tangga ketujuh pada pemilihan AJK Nasional Amanah, namun permuafakatan sebulat suara untuk mengangkat Ahli Parlimen Kota Raja itu sebagai Presiden bagi tempoh empat tahun akan datang.
Mengulas lanjut, Hasnul dalam pada itu berkata, sebagai wakil Pemuda Amanah, pihaknya komited memastikan amanat yang disampaikan oleh Mohamad dalam Pidato Presiden dilaksanakan sebaik mungkin.
Ia termasuk usaha menarik minat lebih ramai golongan muda untuk menyertai parti Amanah.
“Kita mahu mendapatkan keyakinan golongan mahasiswa untuk mendekati Pakatan Harapan dan ianya bukan hanya sekadar persepsi.
“Saya percaya dengan semangat yang dibentuk terutamanya dengan kepimpinan baharu Pemuda Amanah, kita yakin berjaya melakukannya,” katanya.
Terdahulu, sejumlah 27 AJK Pimpinan Nasional Amanah yang mengadakan mesyuarat khas bagi memilih lima jawatan tertinggi parti pada Jumaat malam sebulat suara mengekalkan Mohamad sebagai Presiden Amanah.
Selepas empat tahun ditubuhkan, ini merupakan kali pertama Amanah mengadakan pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional.
#Amanah #Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim #Menteri Pertahanan #Mohamad Sabu #pemilihan parti #Politik Malaysia
;