Kekalahan di Bentong dan Raub sudah dijangka - Adnan Yaakob
Nuradilla Noorazam
Mei 10, 2018 15:31 MYT
Mei 10, 2018 15:31 MYT
Kekalahan Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Bentong dan Raub pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah dijangka.
Perkara itu diakui pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang berkata bahawa ia telah dibincangkan sebelum PRU14 lagi, tetapi BN tetap bekerja keras untuk memberi saingan sengit kepada Pakatan Harapan, terutamanya di Bentong.
Bentong merupakan kerusi yang disandang Presiden MCA dan bekas menteri pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum dimenangi Wong Tack dari PKR dengan majoriti lebih 2,000 undi pada PRU14 semalam.
"Memang perit untuk saya katakan, tetapi ia sudah dijangka. Saya telah berkomunikasi dengan Liow mengenai persaingan sengit parti-parti komponen, dan beliau mengakuinya sendiri.
"Apabila kita menyentuh isu PRU, pemilihan calon memainkan peranan yang amat penting dan harus tepat," katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang.
Pahang, selain Perlis, merupakan satu-satunya negeri yang dimenangi BN pada PRU14 sehingga boleh menubuhkan kerajaan negeri.
Adnan yang ditemui di pekarangan rumahnya pada hari ini turut berkata BN dan UMNO Pahang menerima situasi yang berlaku dengan hati yang terbuka.
PRU14 menyaksikan PKR memenangi sembilan kerusi Parlimen, termasuk Kuantan, Indera Mahkota, Temerloh, Raub dan Bentong, serta 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sementara itu, Harapan memenangi lima kerusi Parlimen dan sembilan kerusi DUN, manakala Pas, lapan kerusi DUN.
Adnan mengakui bahawa salah satu faktor peningkatan jumlah kehilangan kerusi BN pada kali ini adalah calon yang dipilih.
"Saya akui bahawa UMNO dan BN tidak 100 peratus objektif dalam memilih calon yang mewakili parti ini. Sekarang pengundi boleh berfikir dengan sendiri.
"Kami menerima pelbagai laporan dari pelbagai sumber mengenai siapa yang harus menjadi calon, namun apabila sampai masa membuat pemilihan, isu sentimen menjangkaui objektiviti kami sendiri.
"Kami tidak mampu menjadi objektif 100 peratus, akhirnya ada calon yang kami tahu tidak boleh menang tetap dicalonkan, dan ini adalah salah satu kesilapan kami," katanya.
Menurut Adnan yang telah memegang jawatan Menteri Besar Pahang selama tujuh penggal, kemenangan majoriti mudah dua pertiga di Pahang masih dianggap kejayaan buat UMNO dan BN ketika kebanyakan negeri lain tumbang kepada Harapan.
"Saya sebenarnya amat teruja dengan masa depan sidang DUN sekarang kerana ia akan menjadikan kerajaan negeri Pahang lebih stabil sebagai pentadbir."
Tambahnya, UMNO dan BN Pahang turut menerima keputusan dengan hati terbuka dan menghormati pilihan yang telah dibuat rakyat.
#Adnan Yaakob
#Barisan Nasional
#BN
#GE14
#HogohUndi
#Liow Tiong Lai
#Pahang
#Pakatan Harapan
#PAS
#PH
#pilihan raya umum
#PKR
#PRU14
#UMNO