Kekal bersama parti: Idealisme, prinsip PPBM adalah jati diri saya - Azmin Ali
Afiezy Azaman
Jun 17, 2022 10:10 MYT
Jun 17, 2022 10:10 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan idealisme dan prinsip perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah jati dirinya.
Beliau berkata demikian selepas timbul khabar angin bahawa dia akan meninggalkan Bersatu dan mengikuti jejak langkah Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Khabar angin tersebut bagaimanapun disangkal Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rabu lepas.
Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu berkata, Bersatu akan bergerak bersama untuk membangunkan sebuah kerajaan yang bersih, telus, berintegriti dan komited terhadap prinsip tadbir urus baik serta memperjuangkan keadilan sosial demi kemakmuran rakyat.
"Citra Bersatu yang dinamik, progresif dan inklusif amat bertepatan dengan aspirasi zaman demi membangun Malaysia yang bersatu padu dan berupaya mendepani cabaran semasa.
"Idealisme perjuangan Bersatu yang meliputi norma kehidupan serta dasar prihatin yang mengangkat martabat rakyat telah berjaya menjana kemakmuran demi kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menzahirkan terima kasih terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas keyakinan dan kepercayaan beliau.
Katanya, dasar dan inisiatif yang diperkenalkan Muhyiddin khususnya pakej rangsangan ekonomi yang proaktif serta keputusan pantas yang tepat pada masanya mengenai pelaksanaan program vaksinasi besar-besaran, telah meletakkan Malaysia di atas landasan yang kukuh dan berdaya tahan bagi menjamin kejayaan pemulihan ekonomi dan usaha menangani krisis kesihatan.
"Walhasil, Malaysia telah diiktiraf sebagai berjaya mengurus pandemik dengan efektif dan bertanggungjawab serta kebijakan yang mesra perniagaan telah berjaya mencipta pekerjaan dan kemakmuran untuk rakyat sekaligus merancakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan pasca pandemik.
"Bersatu adalah sebuah parti yang berakar dari identiti Melayu dan Bumiputera demi memelihara hak dan kedaulatan bangsa Melayu dan agama Islam, namun sebagai wadah politik yang berpandangan jauh ke hadapan, Bersatu juga mahu mendakap realiti Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama.
Tambah Azmin, Bersatu telah berani melakukan anjakan paradigma dengan meminda Perlembagaan Parti untuk meraikan kepelbagaian kaum dan budaya yang akan menyuburkan amalan demokrasi di Malaysia.