Kejayaan usul undi percaya noktahkan isu sokongan terhadap PM - Fahmi
Bernama
Disember 19, 2022 06:00 MYT
Disember 19, 2022 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diluluskan Dewan Rakyat pada Isnin, menoktahkan isu sokongan terhadap Ahli Parlimen Tambun itu.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata dengan kejayaan itu, Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar akan terus bergerak ke hadapan bagi menumpukan usaha untuk menyelesaikan masalah rakyat serta kos sara hidup.
"Bagi saya, ia penutup kepada apa yang berlaku pada 19 Nov lalu, yang menyaksikan situasi Parlimen tergantung.
"Apabila telah diluluskan, maka tidak ada lagi dakwaan tentang isu majoriti (Perdana Menteri) dan hari ini jelas Perdana Menteri mempunyai sokongan dua per tiga Ahli Parlimen," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, pada Isnin.
Anwar membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10, apabila Usul Undi Percaya terhadapnya diluluskan dengan lebih suara bersetuju, pada hari pertama Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-15 pada Isnin.
Pada mesyuarat Dewan Rakyat pada Isnin juga, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu, setelah mendapat undian 147 undi, manakala Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Md Nor dan Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua selepas masing-masing mendapat 148 dan 146 undi.
Kesemua mereka dicadangkan oleh Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), mewakili kerajaan.
Sementara itu, ditanya mengapa undi belah bahagian tidak dijalankan bagi Usul Undi Percaya berkenaan, Fahmi berkata perkara itu tidak perlu dan berdasarkan kes duluan, usul seumpama itu yang dibawa ke Parlimen pada 1976 dan 2003 tidak melibatkan undi belah bahagian.
Dalam pada itu, Fahmi turut menempelak tindakan pihak pembangkang yang mempersoal Perjanjian Persefahaman Kerjasama antara gabungan Kerajaan Perpaduan.
"Semasa PH menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, terma-terma dan klausa yang hampir sama diguna pakai tetapi langsung mereka tidak sebut apa-apa, sebab kami faham niat kami sewaktu menandatangani MoU ketika itu adalah atas titah nasihat Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) untuk mengelakkan ketidakstabilan politik.
"Samalah juga yang diusahakan hari ini ialah untuk menamatkan ketidakstabilan politik. Apabila kita buat undian (suara) tadi, majoriti memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri. Maka segala hujah mereka terlerai, semua tidak boleh pakai," katanya.
Terdahulu, dalam sidang media selepas usul itu diluluskan, Ketua Whip Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa perjanjian itu secara semangatnya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
-- BERNAMA