Kejayaan BN pada PRN Johor jadi penanda aras gerak kerja PRU15

Bernama
November 15, 2022 21:42 MYT
Hasni berkata ini bermakna gerak kerja yang dilakukan pada PRU15 ini hampir sama dengan gerak kerja sewaktu PRN lepas. - Gambar/ Bernama
KLUANG: Kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi 40 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lepas menjadi penanda aras kepada gerak kerja BN Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN Johor Datuk Seri Hasni Mohammad berkata ini bermakna gerak kerja yang dilakukan pada PRU15 ini hampir sama dengan gerak kerja sewaktu PRN lepas.
Beliau yang juga calon BN bagi Parlimen Simpang Renggam berkata antara yang terus dilaksanakan adalah program dan kaedah serta cara calon mendekati pengundi kawasan.
"Apa yang kita sama-sama lalui lapan bulan lepas (Mac) menjadi satu garis penanda aras kepada gerak kerja kita.
LIHAT CALON-CALON PRU15 DAN KEPUTUSAN PRU14 DI SINI
"Maknanya, kurang sama bentuk programnya dan kaedah, cara wakil rakyat (calon) mendekati pengundi di kawasan. Sesuatu pendekatan yang diambil, tidak kurang daripada apa dibuat pada PRN dulu," katanya kepada pemberita hari ini.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata demikian ketika ditanya mengenai penerimaan BN di negeri ini selepas menghadiri program ramah mesra dan dialog komuniti Renggam di Gerai Makan, Taman Srijaya, Renggam, di sini.
Dalam pada itu, Hasni berkata beliau menyedari isu yang dihadapi pada PRU15 adalah berbeza dan BN Johor perlu menggunakan pelbagai kaedah untuk membuat penjelasan kepada pengundi.
"Saya dah katakan bahawa kita diwakili di semua kawasan Parlimen. Ahli Dewan Undangan Negeri kerajaan, mereka dipertanggungjawab untuk menjadi pihak yang membuat penjelasan dan dapat makluman tentang apa juga isu. Itulah kelebihan BN kerana kita ada wakil-wakil rakyat yang menang semasa PRN lepas," katanya.
Pada PRN Johor BN telah memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.
-- BERNAMA
#Hasni Mohammad #PRN Johor #Calon PRU15 #Parlimen Simpang Renggam
;