'Kejahatan mereka tidak hilangkan kebaikan kita' - Hishammuddin

Hasimi Muhamad
Januari 28, 2023 14:46 MYT
Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memuat naik hantaran di laman Instagramnya selepas tindakan UMNO menggantung dan memecat beberapa ahli parti itu pada Jumaat malam - Foto/IG Hishammuddin
KUALA LUMPUR: "Their evil must not make us lose our good" (Kejahatan mereka tidak mampu hilangkan kebaikan kita).
Demikian tulis bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kemas kini di laman Instagramnya pada Sabtu.
Kenyataan ringkas, tetapi penuh tersirat itu dipercayai susulan tindakan UMNO memecat dan menggantung beberapa ahli UMNO, termasuk Ahli Parlimen Sembrong itu yang digantung selama enam tahun selepas didakwa melanggar disiplin parti.
Menerusi kemas kini tersebut, Hishammuddin yang merupakan cucu kepada Perdana Menteri ketiga dan pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Seri Onn Jaafar turut memuat naik gambar memaparkan beliau sedang menenteramkan seorang individu, dipercayai penyokong UMNO, yang dilihat menangis.
BACA: KJ keterlaluan, Hishammuddin tidak serik belakang parti - Puad Zarkashi
Sementara itu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang dipecat daripada UMNO juga meninggalkan komen pada hantaran yang dimuat naik oleh Hishammuddin.
Khairy berkata, apa yang berlaku kepada mereka bukan penamat kepada perjuangan selama ini.
"Siapa sangka selama bertahun-tahun yang lalu, ini (pemecatan dan penggantungan) akan menjadi sebahagian daripada perjalanan kita bersama.
"Tetapi, seperti yang saya katakan, itu bukan penamat. Ia jauh daripada penghujung," tulis bekas Ahli Parlimen Rembau itu.
Semakan Astro AWANI di ruangan komen juga mendapati rata-rata pengguna media sosial menyatakan sokongan penuh kepada Hishammuddin dan berharap beliau terus kuat.
Pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) lalu, Hishammuddin antara 10 nama yang didedahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai 'pengkhianat'.
Begitupun, bekas Menteri Pertahanan itu menolak sekeras-kerasnya tuduhan dilabel sebagai pengkhianat kerana menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ini kerana, Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata mereka sudahpun mengikut ketetapan parti dengan menarik semula semula sokongan masing-masing, selain berpendirian kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada peringkat awal adalah bercanggah dengan pendirian parti.
#Hishammuddin digantung UMNO #KJ dipecat UMNO #pembersihan umno #Zahid Hamidi
;