Kehadiran Tun Mahathir ke Parlimen satu gimik politik - Azalina

Tan Su Lin
November 8, 2016 19:05 MYT
AZALINA: Kenapa pembangkang tidak menggunakan peraturan mesyuarat sedia ada?
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan tindakan ahli Parlimen pembangkang menjemput Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Parlimen hari ini sebagai satu perbuatan terdesak.
Ujar Azalina dalam satu kenyataan, kehadiran Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu hanya satu gimik politik dan tidak akan membawa apa-apa makna kepada sistem Parlimen.
"Tindakan ahli Parlimen pembangkang menjemput Tun Dr Mahathir Mohamad ke Parlimen menunjukkan mereka begitu terdesak sehingga perlu mendapatkan sokongan daripada pihak luar.
"Saya hairan kenapa pembangkang tidak menggunakan peraturan mesyuarat sedia ada bagi membawa usul untuk dibincangkan sesuatu perkara yang tidak dipersetujui di dalam Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan itu, hari ini.
Azalina berkata demikian sebagai mengulas kehadiran Tun Dr Mahathir di Parlimen bagi menghadiri mesyuarat khas berkaitan hak-hak dan kekebalan anggota Parlimen.
Ia merupakan kali pertama, Bekas Perdana Menteri itu menjejakkan kakinya ke bangunan Parlimen sebagai pemimpin pembangkang.
Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Pribumi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
#Azalina Othman Said #berita politik #Dewan Rakyat #Mahathir Mohamad #Parlimen
;