Kehadiran bekas, pemimpin UMNO tanda positif terhadap Amanah

Bernama
September 22, 2018 16:04 MYT
MOHAMAD: Saya yakin lebih ramai lagi akan menyertai Amanah selepas ini. - Gambar fail
Kehadiran bekas dan pemimpin UMNO pada Sambutan Ulang Tahun ke-3 Parti Amanah Negara (Amanah) di Dewan Tun Razak di sini hari ini, memberi petanda positif parti semakin diterima, kata Presidennya Mohamad Sabu.
Beliau berkata berkata kedatangan mereka termasuk bekas anggota Kabinet Tan Sri Syed Hamid Albar dan Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee serta anak-anak bekas pemimpin Pas yang membuat kehadiran secara 'mengejut' pada majlis sambutan itu amat dialu-alukan.
"Kehadiran mereka di sini sudah menunjukkan isyarat yang baik... bahasa tubuh mereka jika dibaca, sudah nampak positif. Kita mengalu-alukan kehadiran mereka jika mahu sertai Amanah, sama ada veteran UMNO atau dari parti lama kami (Pas).
"... kehadiran mereka membolehkan mereka sama-sama menyumbang fikiran. Kita hargai pandangan mereka kerana boleh membantu kita supaya tidak melakukan kesalahan yang dilakukan parti lama mereka yang membawa kepada kekalahan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mohamad menambah pelawaan itu juga terbuka kepada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang baru-baru ini, membuat keputusan meninggalkan parti yang disertainya lebih 40 tahun dahulu.
Bagaimanapun, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan mengesahkan setakat ini, beliau masih belum mendengar ura-ura penyertaan Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa, mahupun dihubungi oleh Anggota Parlimen Jeli itu.
"Kita alu-alukan jika beliau (Mustapa) mahu sertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan. Kalau nak sertai Amanah pun kita boleh bincang kerana saya tahu beliau seorang yang kuat bekerja sejak dahulu lagi.
"Kehadiran beliau di Parlimen juga sangat baik dan sentiasa mengambil perhatian dalam perbahasan, walaupun atas kapasiti sebagai pembangkang," katanya.
Mohamad bagaimanapun menambah perbincangan di peringkat pimpinan nasional akan dilakukan jika terdapat bekas menteri, timbalan menteri atau menteri besar yang menyertai Amanah perlu diberikan jawatan untuk mengelakkan timbul isu berbangkit.
Mengulas mengenai keanggotaan Amanah, parti itu menyasarkan pertambahan jumlah keanggotaan seramai 500,000 orang menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 dengan majoriti golongan Melayu dan Bumiputera.
Katanya, setakat ini Amanah mempunyai keanggotaan seramai 100,000 orang dan jumlah itu semakin meningkat dengan bilangan edaran borang keanggotaan 'paling rancak' berlaku di Kelantan dan Terengganu.
"Tanda sokongan rakyat kepada Amanah semakin meningkat sejak berakhirnya pilihan raya apabila pada bulan pertama sahaja parti ini menerima 2,000 keanggotan baharu, 5,000 keanggotaan baharu pada bulan kedua, dan 10,000 bulan ketiga.
"Pada bulan keempat pula ia meningkat kepada 12,000 keanggotaan baharu dan saya yakin lebih ramai lagi akan menyertai Amanah selepas ini, jadi kita desak semua pimpinan untuk mengambil pendekatan proaktif bagi menambah anggota dan cawangan terutama di kawasan majoriti Melayu," katanya.
Mohamad menambah peningkatan keanggotaan itu juga penting kerana kerjasama UMNO dan Pas pada beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini, memberi petanda Pakatan Harapan berkemungkinan akan berdepan dengan 'PASMO' ( Pas + UMNO) pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata Amanah juga semakin mendapat tempat dalam kalangan kaum lain, mengambil contoh lebih ramai kaum India dan Cina yang menghantar borang keanggotaan di Temerloh pada hari ini.
-- BERNAMA
#Amanah #Mohamad Sabu #Parti Amanah Negara #PAS #UMNO
;