Kegagalan Undi18 tutup tanggungjawab demokrasi 5.6 juta pengundi muda - Srikandi Muda

Astro Awani
Mac 27, 2021 09:17 MYT
Menurut Ema Syuhaili, pengumuman SPR benar-benar mengecewakan terutama selepas komitmen awal diberikan oleh badan itu sendiri berhubung pelaksanaan Undi 18 yang telah diluluskan di Parlimen dua tahun lepas.
KUALA LUMPUR: Kegagalan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 akan menutup ruang dan peluang sekitar 5.6 juta pengundi muda untuk melaksanakan tanggungjawab demokrasi mereka terhadap negara.
Bagaimanapun, Pengerusi Srikandi Muda Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor percaya, ia melibatkan peluang anak muda 18 tahun ke atas sebagai calon Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Ia bukan sekadar pemberi undi kepada parti-parti politik semata-mata, katanya.
"Adalah janggal sekiranya hanya Ahli Parlimen yang berumur 18 tahun berada di Dewan Rakyat dan bukannya ADUN di DUN.
"Sehubungan itu, saya berpendapat ketika mana jari dituding kepada SPR, ahli politik juga perlu mengambil usaha untuk melakukan pindaan di peringkat negeri dengan segera bagi membolehkan pindaan tersebut dibuat.
"Saya selaku wakil anak muda mengalu-alukan penglibatan belia 18 tahun ke atas bukan sekadar pengundi sahaja malah sebagai calon ADUN dan Ahli Parlimen.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini menyeru semua parti politik untuk memandang bakat anak muda secara serius dan meletakkan anak muda seawal 18 tahun ini sebagai calon pada Pilihan Raya Umum akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehingga kini, kata Ema Syuhaili, pindaan kepada undang-undang negeri agar selari dengan Seksyen 5 Bahagian I, Jadual Lapan Akta Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 (Akta A1603) masih belum dibentangkan bagi membolehkan individu berumur 18 tahun ke atas menjadi ADUN, kecuali negeri Sarawak yang membentangkannya pada November 2020.
Akta tersebut diluluskan oleh Parlimen pada 16 Julai 2019 dan dikuatkuasakan pada 10 September 2019.
BACA: Majlis Setiausaha PH ingin berbincang dengan SPR
BACA: Kelewatan pendaftaran automatik, Undi18 mengecewakan - Mas Ermieyati
Jelas beliau, Undi18 merupakan usaha meremajakan bukan sahaja parti politik, tetapi juga wakil-wakil di DUN dan Dewan Rakyat.
"Perlu ada keazaman dan keikhlasan semua pihak untuk menjayakan agenda Undi18 ini secara total dan bukannya hanya sebagai peluang untuk meraih undi tambahan sahaja," katanya.
Pada Khamis, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh menjangkakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022, sekali gus menyaksikan ia tidak sempat dilaksanakan pada Julai tahun ini sepertimana jangkaan awal.
Katanya, tempoh tersebut dibuat selepas menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR termasuk penularan wabak COVID-19.
Dalam pada itu, jelas Ema Syuhaili, pengumuman SPR itu benar-benar mengecewakannya terutama selepas komitmen awal diberikan oleh badan itu sendiri berhubung pelaksanaannya.
"SPR perlu memberikan penjelasan yang lebih lanjut dan terperinci berhubung alasan kegagalan mematuhi jangkaan pelaksanaan yang telah diumumkan.
"Selain penjelasan lanjut, kami juga berharap SPR dapat melakukan penstrategian semula usaha kerja di peringkat mereka untuk memenuhi komitmen yang telah diumumkan; sekurang-kurangnya pada penghujung 2021 sekiranya tidak pada Julai 2021," ujarnya.
#COVID-19 #politik #ADUN #Dewan Rakyat #Undi18 #Parlimen #pilihan raya umum #undang-undang #Belia #rakyat #calon #pilihan raya #Suruhanjaya Pilihan Raya #Ema Syuhaili Mohamad Sukor #ahli Parlimen
;