Kegagalan Pas jadi bahan kempen UMNO Kelantan - Tok Pa

Bernama
Januari 30, 2017 21:09 MYT
TOK PA: UMNO Kelantan akan menggiatkan sesi penerangan kepada rakyat negeri itu dalam usaha menyedarkan mereka mengenai kelemahan pentadbiran Pas. - Gambar fail
UMNO Kelantan akan menggiatkan sesi penerangan kepada rakyat negeri itu dalam usaha menyedarkan mereka mengenai kelemahan pentadbiran kerajaan negeri PAS yang memerintah negeri itu sejak tahun 1990.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata antara isu yang akan dibangkitkan kepada pengundi termasuklah masalah pemilikan tanah, setinggan dan kurangnya peluang ekonomi.
"Rakyat telah beri peluang kepada PAS untuk majukan Kelantan sejak 27 tahun lepas, namun masih tiada perubahan...kalau ada pun (pembangunan) ia jasa kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama anggota jawatankuasa Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Gris, Dabong di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, Datuk Ramzi Ab Rahman.
Katanya, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), UMNO Kelantan akan memperkukuhkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) terutama di luar Kelantan bagi mendekati pengundi muda yang tinggal di luar negeri itu.
Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata UMNO turut merancakkan program mendekati golongan mahasiswa agar mereka tidak mudah dikelirukan dengan fitnah pembangkang.
-- BERNAMA
#Dabong #Datuk Mustapa Mohamed #Kuala Krai #PAS #UMNO Kelantan
;