Kedudukan Parlimen sengit, peranan Speaker pastikan urusan berjalan adil

Madiha Abdullah
Disember 19, 2022 06:53 MYT
Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baru dilantik perlu bijak dalam memainkan peranan dan mengambil tindakan sewaktu sesi persidangan berlangsung.
Koordinator Penyelidik Research For Social Advancement Berhad (REFSA), Fakhrurrazi Rashid berkata, ini kerana kedudukan Parlimen dilihat sengit dengan kerajaan gabungan amat memerlukan kerjasama pihak pembangkang bagi memastikan urusan yang adil dan saksama.
"Speaker perlu bertindak lebih arif dan bijaksana kerana kita saksikan kedudukan Parlimen agak sengit kerana ia kerajaan gabungan yang memerlukan kerjasama erat dengan pembangkang.
"Semangat dwipartisan perlu diangkat oleh Speaker untuk pastikan urusan kerajaan berlaku adil dan saksama dan dalam masa yang sama, memberi ruang pembangkang untuk kemuka idea dan cadangan," katanya ketika muncul di Astro AWANI, pada Isnin.
Terdahulu, bekas ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan.
Beliau juga menyifatkan kenyataan bahawa pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sebagai permulaan pemerintahan ala diktator, sebagai tidak tepat, sebaliknya ia boleh ditambah baik daripada MoU yang dimeterai kerajaan terdahulu.
"Kalau ada yang kata MoU itu amalan diktator, itu kurang tepat. Ia terpulang kepada gabungan parti politik kerajaan untuk buat keputusan, MoU terdahulu ia boleh dikaji dan ditambah baik kerana kita ada Jawatankuasa Pemandu.
"Dalam MoU Kerajaan Perpaduan ini semua perlu dibincangkan secara realistik dalam Jawatankuasa Pemandu, saya tidak lihat bagaimana Ahli Parlimen perlu gusar kerana apa yang perlu ditekankan dalam Kerajaan Perpaduan memberi peranan besar kepada Ahli Parlimen untuk mainkan peranan dalam Parlimen dari aspek perundangan dan pembuat dasar contohnya kena ada select comittee lebih banyak.
"Ini akan memperluaskan peranan Parlimen dan perkasa Ahli Parlimen dalam membuat keputusan, istilah diktator perlu disemak dan diimbangi pembangkang secara teliti," tambahnya.
Fakhrurrazi juga meletakkan harapan untuk melihat Parlimen melakukan yang terbaik dalam mencari solusi masalah rakyat, dan kerajaan perpaduan tidak boleh melepaskan peluang untuk menterjemahkan reformasi bukan sekadar sebagai idea tetapi juga dari sudut undang-undang, politik dan ekonomi.
#Parlimen #Yang Dipertua Dewan Rakyat #Datuk Johari Abdul #PRU15