Kedudukan Ahli Parlimen PAS, BN berubah di Dewan Rakyat

Shuhami Zabri
Oktober 18, 2015 21:54 MYT
Persidangan yang bermula esok akan berlangsung selama 25 hari, diikuti pembentangan Bajet 2016 pada 23 Oktober ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mesyuarat ketiga penggal ketiga Parlimen ke-13 yang akan bersidang esok, akan menyaksikan perubahan tempat duduk beberapa ahli parlimen daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, khususnya membabitkan PAS berikutan rentetan persitiwa dalam senario politik kebelakangan ini.
Perubahan kedudukan itu ekoran pembentukan pakatan pembangkang baharu dikenali Pakatan Harapan, yang menyaksikan PAS disisihkan dari blok pembangkang berkenaan.
Kedudukan barisan anggota parlimen PAS, yang diketuai Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti dalam laman web Parlimen Malaysia, kini berubah dari blok I ke blok G dan ada yang di blok F.
Sebelum ini, semasa bersama dalam pakatan pembangkang, Abdul Hadi berserta beberapa pemimpin kanan parti itu diletakkan bersama dengan kepimpinan parti PKR dan DAP di blok I, selebihnya di blok F.
Tempat duduk PAS di blok I dan H kini telah diisi oleh parti baharu, Parti Amanah Negara (Amanah), yang merupakan parti serpihan PAS, yang kini telah bergabung dengan PKR dan DAP serta menamakan gabungan mereka sebagai Pakatan Harapan.
Naib pengerusi Parti Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) kini duduk sebaris dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang merupakan ketua pembangkang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) di blok I.
Sementara itu, perubahan tempat duduk turut membabitkan ahli parlimen Barisan Nasional (BN), dengan tempat Tan Sri Muhyiddin Yassin kini diambil alih Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada rombakan Kabinet, Julai lalu.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Timbalan Presiden Umno itu diletakkan di barisan pertama blok E, sebaris dengan pemimpin veteran, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Bekas Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel turut diletakkan di Blok E dan tempat asalnya sebelum ini diambil alih Presiden MIC baharu, Datuk Seri Dr S Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainudin serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, turut berubah tempat duduk.
Perubahan lain turut membabitkan Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pendidikan), Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Seri Ong Ka Chuan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II).
Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed turut berubah tempat selepas dilantik Timbalan Menteri Dalam Negeri serta Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Sidang Dewan Rakyat kali ini turut menyaksikan muka baharu dengan kemasukan beberapa Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik daripada kuota Senator, termasuk Senator Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak; Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Senator Chong Sin Woon.
Persidangan yang bermula esok akan berlangsung selama 25 hari, diikuti pembentangan Bajet 2016 pada 23 Oktober ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
#Barisan Nasional #BN #kerusi #Pakatan Harapan #Parlimen #PAS #pembangkang
;