Kedudukan Abdul Hadi tidak tercabar
Sinar Harian
Mac 15, 2025 09:30 MYT
Mac 15, 2025 09:30 MYT
Setakat ini tiada desakan daripada mana-mana ahli untuk Abdul Hadi diganti kerana parti masih memerlukan pandangan, idea dan ketokohannya dalam hala tuju Pas. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Tiada keperluan untuk mempertandingkan jawatan tertinggi Pas terutama peringkat Presiden pada sesi pemilihan parti yang akan datang.
Ahli Jawatankuasa Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berpandangan, ketokohan dan khidmat Tan Sri Abdul Hadi Awang masih relevan untuk terus menerajui parti Islam itu.
"Tuan guru (Abdul Hadi) walaupun dalam keuzuran masih boleh memimpin kerana dalam keadaan dia menerajui Pas, kita menang banyak kerusi Parlimen dalam sejarah selain dapat memerintah empat negeri.
"Jadi sekarang ini tiada isu (pertandingkan jawatan Presiden), cuma bagaimana untuk pertandingkan jawatan utama lain seperti Timbalan Presiden, Naib Presiden," katanya.
Pada Oktober 2023, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang kekal sebagai Presiden Pas selepas diumumkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi parti itu bagi sesi 2023-2025.
Beliau menduduki kerusi Presiden sejak dipilih memangku jawatan itu pada 2003 sebelum disahkan ke jawatan berkenaan dalam muktamar pada 2005.
Kamarudin berkata, jawatan Presiden setakat ini tidak tergugat namun akan berlaku perubahan sekiranya Ahli Parlimen Marang itu yang mahu berundur daripada saf kepimpinan.
Setakat ini katanya, tiada desakan dari mana-mana ahli untuk Abdul Hadi diganti kerana parti masih memerlukan pandangan, idea dan ketokohannya dalam hala tuju Pas.
Sementara itu Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman yakin strategi mengekalkan Abdul Hadi memberi peluang untuk parti meraih lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang.
"Musuh takut dengan kepimpinan Pas sebab itu timbul tanggapan terhadap parti.
"Jadi kita kekalkan kepimpinan yang ada sekarang sebab Presiden dan Timbalan Pesiden ada kehebatan tersendiri. Kita memang perlukan tenaga mereka," ujarnya.
Ditanya sama ada nama besar seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar layak menerajui parti selepas ini, beliau berkata: 'Sampai masa nanti mereka akan naik'. - Sinar Harian