Kedah bahas RUU Antilompat Parti sidang DUN akan datang
Bernama
Oktober 31, 2022 12:15 MYT
Oktober 31, 2022 12:15 MYT
ALOR SETAR: Kerajaan Kedah bercadang untuk membawa dan membahaskan usul berkaitan antilompat parti pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, yang tarikhnya ditentukan kemudian.
Speaker Datuk Juhari Bulat berkata meskipun Parlimen telah menguatkuasakan Rang Undang-Undang (RUU) larangan melompat parti 5 Okt lepas, kerajaan negeri mempunyai masa untuk berbuat demikian.
Sehubungan itu, beliau menolak usul dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Derga Tan Kok Yew supaya perkara itu dibahaskan pada persidangan kali ini meskipun usul dibuat dengan baik dan memenuhi kriteria.
"Usul dibawa (Adun) Derga. Usulnya tentang antilompat parti. Ini juga dibuat dengan betul, memenuhi, tetapi ditolak juga oleh Speaker kerana satu usul ini, betul, telah dikuatkuasakan di Parlimen pada 5 Oktober 2022, tetapi belum dikuat kuasa peringkat negeri.
"Ini dalam Perkara 6, Jadual 8. Negeri ada masa untuk kuat kuasakan Rang Undang-Undang lompat parti...jadi tak sia-sia kerja Derga memberi proaktif, kerajaan (negeri) pun dah maklum, nak buat dengan betul Rang Undang-Undang lompat parti," katanya sebelum sesi soal jawab pada persidangan itu di sini hari ini.
Untuk rekod, Perlis antara negeri yang telah meluluskan RUU itu dan akan melaksanakan Enakmen Anti-Lompat Parti berkuat kuasa 1 Nov ini.
-- BERNAMA