Kecoh penyokong BN dan PH hampir bertumbuk

Sahlizah Mohamed
April 13, 2019 13:31 MYT
Hari mengundi PRK DUN Rantau menyaksikan pertengkaran antara peraih undi dari PH dan BN.
Proses membuang undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Sabtu bertukar menjadi kecoh susulan beberapa insiden melibatkan isu meraih undi dalam kawasan 50 meter dari pusat-pusat mengundi.
Di Sekolah Kebangsaan Nyatoh, Bandar Ekar, berlaku pertengkaran melibatkan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Keadaan menjadi tegang apabila sebuah pacuan empat roda diparkirkan di sebelah sekolah berkenaan dalam jarak 50 meter. Untuk rekod, peraih undi hanya dibenarkan berada sejauh sekurang-kurangnya 50 meter dari Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Semasa kejadian, kenderaan itu dilihat membawa bendera BN kurang 50 meter dari PDM tersebut dimana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini telah menegaskan bahawa perbuatan ini menyalahi undang-undang pilihan raya.
Semasa ditemui pihak media, seorang pengundi yang berada di lokasi kejadian mendakwa provokasi yang dilakukan kedua-dua pihak itu disebabkan rasa tidak puas hati antara mereka.
“Mereka bertengkar. Menjerit-jerit kepada satu sama lain dan keadaan tegang seketika sehingga hampir bertumbuk.
“Mujur orang ramai sempat meleraikan pertengkaran itu dan kenderaan itu pun dialihkan dari parkir berkenaan,” katanya sambil menambah bahawa pertengkaran itu berterusan selama kira-kira 10 minit.
Dalam pada itu, terdapat juga beberapa barong panas yang didirikan dalam kawasan 50 meter dari pusat mengundi yang juga menjadi kesalahan di bawah undang-undang pilihan raya menurut SPR sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, calon PH, Dr S Streram semasa melawat PDM Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua melahirkan rasa tidak puas hati dengan peraih undi di sekolah berkenaan.
Beliau mendakwa bahawa penyokong parti lawan berada terlalu hampir dengan tempat mengundi.
PRK DUN Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Dr S Streram, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga penyandang kerusi DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dari Barisan Nasional (BN) dan dua calon bebas, R Malarvizhi serta Mohd Nor Yassin.
Ini adalah PRK ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis (4 Ogos), DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) dan DUN Semenyih (2 Mac).
#Barisan Nasional #Dr S Streram #Pakatan Harapan #PDM #pilihan raya kecil #PRK #Pusat Daerah Mengundi #Rantau #Rantau Memilih #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya
;