Kecoh Konvensyen DAP Perak: Mana ada 'pengundi hantu' - Anthony Loke
Astro Awani
Mac 15, 2021 11:57 MYT
Mac 15, 2021 11:57 MYT
KUALA LUMPUR: Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke menganggap dakwaan wujud 'pengundi hantu' pada Pemilihan Ahli Jawatankuasa DAP Perak pada Ahad sebagai tidak berasas.
Katanya proses pemilihan kepimpinan parti DAP di semua peringkat sentiasa dijalankan dengan telus tanpa memihak kepada mana-mana individu.
"Saya ingin menegaskan bahawa semua proses pemilihan kepimpinan parti DAP di semua peringkat sentiasa dijalankan dengan telus tanpa memihak kepada mana-mana individu.
"Justeru itu, dakwaan berkenaan 'pengundi hantu' adalah tidak berasas sama sekali," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau menambah bahawa ibu pejabat DAP juga memastikan pegawai pilihan raya negeri dilantik dari negeri yang berbeza.
Loke berkata, senarai perwakilan untuk konvensyen negeri disahkan oleh bahagian organisasi di Ibu Pejabat DAP.
Loke menambah, pengurus pilihan raya untuk konvensyen negeri dilantik oleh Ibu Pejabat DAP dan biasanya merupakan pemimpin dari negeri lain yang tidak berminat dalam proses pemilihan di negeri itu.
“Saya menyeru setiap anggota parti untuk menghormati proses pemilihan parti dan menerima sebarang keputusan pemilihan dengan hati yang terbuka,” katanya.
Pemilihan berakhir dengan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming dan bekas Speaker Perak memperoleh undian terbanyak diikuti bekas Exco Perak Dr Abdul Aziz Bari dan A Sivanesan.
Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su dan Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kula Segaran memperoleh 550 dan 540 undian masing-masing dalam pemilihan yang melibatkan 30 calon.
Difahamkan dakwaan 'pengundi hantu' itu timbul apabila kumpulan dipercayai memihak Su dan Kula Segaran mengatakan pihak penganjur terus membenarkan perwakilan membuat pendaftaran untuk mengundi lebih daripada masa yang ditetapkan.
Konvensyen itu dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan dan ahli DAP seluruh negeri.
Antara urusan rasmi pada konvensyen itu ialah memilih 15 Ahli Jawatankuasa Negeri, pembentangan dan penerimaan akaun penyata kewangan, selain penerimaan usul-usul atau pengisytiharan dikemukakan jawatankuasa negeri.