Kecoh apabila kenderaan didakwa bawa peti undi hantu
Bernama
Mei 9, 2018 22:00 MYT
Mei 9, 2018 22:00 MYT
Berlaku sedikit kekecohan di luar pusat penjumlahan rasmi undi Parlimen Iskandar Puteri di Dewan Bandaraya Iskandar Puteri, di sini, awal malam ini.
Kejadian pada 8 malam itu berlaku apabila sekumpulan individu cuba menghalang sebuah kereta Proton Exora memasuki kawasan dewan berkenaan kerana mendakwa kenderaan tersebut membawa peti undi hantu.
Sehubungan itu mereka yang berada di lokasi berdekatan cuba menghalang dan merampas kunci kenderaan tersebut yang dinaiki dua lelaki termasuk seorang ketua tempat mengundi.
Bagaimanapun situasi yang sedikit tegang itu berjaya dikawal oleh anggota polis yang bertugas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Mohd Taib Ahmad mengesahkan kejadian tersebut.
"Anggota polis bersama ejen tempat mengundi dan kira undi (PACA) mengiringi peti undi tersebut sehingga masuk ke tempat pengiraan," katanya.
-- BERNAMA