Kecewa Putra sertai GTA, Hamidah umum keluar parti serta-merta
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 10, 2022 16:06 MYT
Ogos 10, 2022 16:06 MYT
IPOH: Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta, hari ini.
Hamidah berkata, beliau membuat keputusan itu kerana kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan parti menyertai Gabungan Tanah Air (GTA) yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, buat masa ini beliau tidak berhasrat untuk menyertai mana-mana parti politik.
“Demi prinsip dan tanda saya hilang kepercayaan kepada Presiden dan kepimpinan parti Putra yang telah bertindak untuk bekerjasama dengan Tun M, maka saya ingin melepaskan semua jawatan saya di dalam Putra serta keluar dari parti Putra berkuat kuasa serta-merta," katanya pada sidang media di sini.
Beliau berpendapat hubungan itu tidak akan kekal lama kerana ia bukan gabungan yang ikhlas.
"Ia hanya merupakan 'marriage of convenience' dan saya tak tahu akhirnya nanti siapa yang guna siapa dan siapa yang kenakan siapa,” ujarnya.
Hamidah berharap tiada tohmahan yang bukan-bukan seperti sebelum ini kononnya beliau gila jawatan atau kecewa kerana tidak dapat jawatan.
"Saya meninggalkan semua parti yang saya sertai dalam kedudukan saya mempunyai jawatan yang penting dan besar.
"Dengan kesediaan saya meninggalkan semua jawatan dan kedudukan adalah bukti saya tidak gila jawatan," tambahnya.
Hamidah berkata, slogan GTA untuk bersatu demi Melayu dan Islam hanyalah retorik politik yang merupakan satu usaha untuk menipu rakyat.
Menurutnya, rakyat seluruh negara sudah mula perasan bahawa Dr Mahathir adalah seorang yang oportunis dan mementingkan diri sendiri.
Hamidah mengumumkan penyertaannya ke dalam Putra pada 20 Ogos 2018 selepas keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada September 2017.
Pada November 2015, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemecatan Hamidah daripada UMNO selepas mendapat keputusan sebulat suara oleh Majlis Tertinggi parti berkenaan.
Pada 4 Ogos lalu, Tun Mahathir mengumumkan penubuhan GTA yang disertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Putra dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).