Kecewa digelar 'biawak hidup', MCA disaran pulau PRN
Sinar Harian
Jun 25, 2023 18:32 MYT
Jun 25, 2023 18:32 MYT
SHAH ALAM: Pemuda MCA menyarankan agar parti itu memulau Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang dengan tidak meletakkan calon.
Setiausaha Agungnya, Daniel Wa mencadangkan agar MCA tidak membantu mana-mana calon yang sombong selepas Barisan Nasional (BN) berkawan dengan DAP.
Tambahan pula, katanya, pemimpin terbabit secara angkuh dan bangga menjadi jurucakap DAP, seolah-olah mereka hanya memerlukan DAP sebagai kawan.
"Selama ini MCA setia dan berpegang teguh kepada prinsip serta semangat BN. Susah senang MCA tetap bersama BN walaupun banyak parti komponen meninggalkan parti itu ketika berdepan waktu sukar.
“Kini, dia sudah ada kawan baharu, DAP. Maka itu, dia mendabik dada dan tidak memerlukan MCA serta MIC yang digelar ‘biawak hidup’," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam menerusi wawancara dengan sebuah portal berita berkata, MCA dan MIC umpama ‘biawak hidup’ yang dipikul UMNO kerana tidak mampu meraih sokongan Cina dan Melayu untuk menyokong BN.
Berikutan itu, Daniel berharap pucuk pimpinan MCA dapat meneliti secara mendalam cadangan yang dikemukakannya.
"Ini adalah bagi mengajar golongan yang sombong, angkuh dan tidak sedar diri," ujarnya. -Sinar Harian