Kecewa Anwar langgar janji, Azmin beri bayangan tak hadir penutup Kongres
Firdaus Azil
Disember 7, 2019 17:39 MYT
Disember 7, 2019 17:39 MYT
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menepati ‘janji’, dan membuka jalan untuk perwakilan menyerang beliau serta pimpinan Muafakat Keadilan.
Dalam sidang media berasingan di sebuah hotel, Mohamed Azmin berkata, beliau berpegang kepada keputusan ‘perbincangan’ terdahulu, dan ucapan beliau sewaktu merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) langsung tidak menyindir mana-mana pihak.
“Harapan para perwakilan dan pemerhati supaya Ucapan Dasar Presiden memberi fokus kepada dasar dan hala tuju yang inklusif dan progresif ternyata meleset.
“Ucapan Presiden yang bermula dengan sorotan klasik tentang kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar jelas membuka laluan kepada para pembahas yang lain untuk terus melakukan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan pimpinan dan anggota KEADILAN,” katanya lagi.
Sidang media itu turut dihadiri Naib-naib Presiden PKR Tian Chua, Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju, Ketua Wanita Nasional Haniza Talha dan timbalannya Dr Daroyah Alwi, termasuk Ahli Majlis Pimpinan Pusat seperti Baru Bian, Datuk Saifuddin Abdullah, dan Amirudin Shari.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, keadaan itu sangat mengecewakan selepas apa yang mereka lalui sejak penubuhan parti pada 1999, sehingga berjaya menjadi parti terkuat dalam Pakatan Harapan.
“Perkara ini kita telah kita bincang panjang dengan Presiden, dengan satu niat to rebuild party, strengthen and unite (membina, kuatkan dan satukan parti). Kita bersetuju seperti apa saya cakap, tapi ini sangat mengecewakan apabila perjanjian ini tak dilaksanakan.
“Kita bina parti dalam keadaan sukar, bila parti dah kuat ada orang baru, tiba-tiba nak halau kami dari parti,” katanya lagi.
#Anwar Ibrahim
#Azmin Ali
#Haniza Talha
#kongres amk
#Muafakat Keadilan
#Presiden PKR
#Si Kitol dan Raja Mendeliar
#Tian Chua
#tidak menepati janji
#Timbalan Presiden PKR
#Zuraida Kamaruddin