Kecelaruan pembangkang buat BN makin kuat - Syed Ali

Astro Awani
November 20, 2017 17:59 MYT
SYED ALI: Najib ternyata begitu cekap mengurus persepsi di samping sentiasa istiqamah dalam perjuangan membangunkan negara. - Gambar fail
Krisis keyakinan dan kecelaruan pakatan parti-parti pembangkang yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH) menyebabkan Barisan Nasional (BN) menjadi lebih kuat pada Pilihan raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, keyakinan itu lahir selepas pembangkang kini dilanda kecelaruan, perpecahan, meragui sesama sendiri dan rakyat turut menjadi keliru dengan masa depan pembangkang di negara ini.
"Walaupun Pakatan Harapan dipengerusikan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi sesama 'kepala' mereka jelas tidak sehaluan dan dilihat lebih banyak membuat keputusan untuk kepentingan kelompok tertentu.
"Bagaimanapun, apa juga keputusan dan hala tuju pakatan pembangkang hanya ditentukan oleh parti rasis, DAP yang secara total menguasai gabungan tersebut.
"Inilah bezanya dengan UMNO dan BN, matlamat perjuangan kita jelas, dan kita sentiasa bermuafakat sesama ahli komponen dengan tidak membelakangkan kepimpinan Najib selaku Pengerusi BN," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.com miliknya.
BACA: Cawangan UMNO disaran tubuh biro IT untuk tangkis fitnah pembangkang
BACA: UMNO serius kemudi kepentingan orang Melayu, negara - Hishammuddin
Jelasnya, kesetiaan dan rasa hormat terhadap kepimpinan Najib amat menebal di kalangan pemimpin UMNO serta parti-parti komponen dan ia tidak pernah ada di dalam pakatan pembangkang.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan bagaimanapun tidak menafikan beberapa ketika Najib berada dalam kedaaan yang agak sukar berikutan persekitaran politik yang berlaku.
"Najib dilambung ombak fitnah, diserang tohmahan yang begitu mencabar dengan pelbagai isu yang diputarbelitkan manakala rakyat pula menjadi keliru dengan mainan persepsi yang dilakukan pembangkang.
"Bagaimanapun Najib ternyata begitu cekap mengurus persepsi tersebut di samping sentiasa istiqamah dalam perjuangan membangunkan negara dan membela nasib rakyat tanpa mengira perbezaan kaum.
"Hasilnya, rakyat melihat Najib adalah seorang Perdana Menteri yang sanggup untuk tidak menjadi popular disebabkan keikhlasan beliau menjalankan tanggungjawab dan amanah untuk kepentingan rakyat," ujarnya.
Justeru Syed Ali meramalkan UMNO di bawah kepimpinan Najib tidak akan menempuh laluan berliku untuk mengekalkan kemenangan pada PRU ke-14 dan para pemerhati melihat kejayaan akan menjadi lebih cemerlang berbanding keputusan PRU-13.
"Sekarang ini, pembangkang sudah kehabisan isu untuk diputarbelitkan dan keadaan menjadi semakin bercelaru apabila sesama mereka jelas tidak sekata," katanya.
Beliau juga menarik perhatian mengenai tindakan pemimpin dan penyokong parti PPBM di beberapa negeri yang mula meninggalkan parti serpihan itu.
Sepertimana dilaporkan media ujar beliau, penyokong parti serpihan itu mula berasa satu kesilapan besar apabila mereka meninggalkan UMNO dan menyedari matlamat perjuangan adalah sia-sia dan tidak 'berbaloi'.
"Ini yang kita dengar berlaku di beberapa negeri terutama di bahagian utara Semenanjung, " jelasnya.
Tambahnya, perkembangan itu mmberi ruang lebih baik kepada UMNO.
Kata Syed Ali lagi, gandingan mantap Najib dengan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi juga menjadi pemangkin kekuatan sokongan rakyat terutama di peringkat akar umbi terhadap UMNO.
"Kekuatan itu disokong pula dengan wala' tidak berbelah bagi daripada Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut menjalankan tugas sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas.
"Malah, barisan MT UMNO dan seluruh kepimpinan parti di peringkat negeri, bahagian dan cawangan di samping kesetiaan sayap parti - Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO membuktikan Najib tidak keseorangan.
"Inilah ramuan dalam UMNO mutakhir ini, inilah kekuatan yang berjaya dijana pulih oleh Najib sehingga membawa UMNO menjadi kekuatan kepada penyatuan seluruh orang Melayu dan umat Islam di negara ini," tegasnya.
Tambah beliau lagi, rakyat terutama orang Melayu mula melihat UMNO sebagai sebuah kesatuan politik yang unggul di bawah kepimpinan Najib yang pantas bergerak ke hadapan untuk masa depan mereka.
Dalam perkembangan lain, Syed Ali mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya berusaha meningkatkan keupayaan menangkis apa juga bentuk serangan dilakukan pembangkang terutama menerusi media sosial.
"Media sosial menjadi medium berpengaruh dan bakal digunakan semaksima mungkin oleh parti-parti politik yang akan menentukan keputusan PRU ke-14.
"Biarpun UMNO semakin kuat dan diyakini oleh rakyat, tetapi kita tidak boleh leka, apatah lagi untuk mengambil pendirian berpeluk tubuh," tegasnya.
#DAP #Pakatan Harapan #PRU #UMNO #Zahid Hamidi
;