Kecelaruan dan ketegangan yang berlaku menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ketika ini adalah kerana keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah keputusan yang memeranjatkan.

Ini kerana menurut penganalisis politik Universiti Malaya, Prof Dr Hamidin Abd Hamid, parti-parti politik di negeri itu perlu memikirkan strategi untuk memenangi PRN kali ini dalam masa singkat.

"Ketegangan dan kecelaruan dalam parti politik di Sabah ketika ini adalah bukan sahaja untuk memilih calon, malah untuk membuat persediaan melakukan kerjasama dengan gabungan parti untuk mengharungi PRN kali ini.

"Jadi sememangnya setiap parti berdepan masalah untuk memilih calon terbaik untuk mewakili parti mereka di setiap kawasan.

"Ia turut merangkumi strategi yang perlu mereka lakukan untuk memenangi PRN kali ini dengan rakan kongsi kongsi mereka," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.


Dalam pada itu, Dr Hamidin turut berpendapat bagi menyelesaikan ketegangan yang berlaku ketika ini, setiap parti politik perlu berkomunikasi dengan lebih baik.

Jelasnya, gambaran yang diberikan oleh parti politik ketika ini memainkan peranan penting buat rakyat Sabah untuk menilai yang seterusnya memberi kelebihan kepada parti tersebut untuk memenangi PRN ini.

"Ketika ini setiap parti akan memberi gambaran bahawa mereka kuat dan kemampuan mereka untuk bertanding selain mempunyai kemampuan untuk mentadbir di setiap kawasan.

"Jadi, mana-mana parti yang berjaya memaparkan kebersatuan mereka sebagai satu entiti kuat akan memberi kelebihan buat mereka.

"Ini kerana di Sabah, rakyat di sana memerhatikan setiap pergerakan parti politik yang akan mereka pilih selain daripada personaliti yang mewakili parti tersebut," jelasnya.