Kebersamaan anggota UMNO jadi kunci tangani cabaran parti - Zahid

Bernama
Disember 11, 2015 07:26 MYT
AHMAD ZAHID: Kembali pulihkan semangat kekitaan, semangat kebersamaan sebagai pejuang-pejuang UMNO di seluruh negara.
Kebersamaan anggota UMNO dilihat menjadi kunci utama dalam menangani segala permasalahan dan cabaran yang dihadapi parti itu, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata walau apa jua isu dan permasalahan dihadapi sama ada daripada dalam atau luar parti, anggota UMNO perlulah mempertahankan prinsip dan semangat kebersamaan itu.
"Jangan ada menyiram bahan api ke bara yang ada, sebaliknya kita hendaklah bersemangat agar kita curahkan air yang paling dingin agar bara amarah jika ada, dapat kita padamkan segera.
"...dan kita kembali pulihkan semangat kekitaan, semangat kebersamaan sebagai pejuang-pejuang UMNO di seluruh negara," katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Badan Perhubungan UMNO Perak, yang turut dihadiri Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, di sini malam Jumaat.
Ahmad Zahid berharap semangat kebersamaan itu akan memberi pemerkasaan semula kepada UMNO secara keseluruhannya.
Ahmad Zahid, yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh, berkata meskipun parti berdepan pelbagai cabaran ketika ini, semangat ukhuwah dalam kalangan anggota masih terserlah terutama ketika Perhimpunan Agung UMNO, yang masuk hari kedua hari ini.
"Kita anggota UMNO. Sekali kita menjadi anggota UMNO, semangat dan kekentalan sebagai anggota dan pejuang-pejuang UMNO akan terus membara di dada kita semua," katanya, yang mendapat sorakan daripada kira-kira 1,000 anggota UMNO Perak itu.
Beliau berkata saranan disampaikan oleh jurucakap sayap-sayap dan wakil negeri-negeri, diharapkan dapat diterima dan seterusnya ada tindakan susulan yang dapat menterjemahkan kebersamaan dan kejituan parti keramat orang Melayu itu.
#Ahmad Zahid Hamidi #UMNO< kebersamaan anggota parti
;