Keahlian UMNO meningkat mendadak - PM Najib

Irwan Muhammad Zain
April 26, 2017 00:02 MYT
Najib yang juga Perdana Menteri menjelaskan selain keahlian UMNO, mesyuarat agung tahun parti itu diperingkat cawangan dan bahagian juga berjalan lancar. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Keahlian UMNO meningkat mendadak tahun ini berbanding masa-masa lalu, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib yang juga Perdana Menteri menjelaskan selain keahlian UMNO, mesyuarat agung tahun parti itu diperingkat cawangan dan bahagian juga berjalan lancar.
"Mesyuarat di peringkat cawangan berjalan lancar dan saya dimaklumkan jumlah keahlian baru yang didaftar di ibu pejabat meningkat mendadak berbanding masa-masa lalu," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam tadi.
Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas timbalan presiden, Naib Presiden Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Sementara itu ketika mengulas sambutan ulangtahun UMNO ke-71 yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil, Najib berkata parti itu yakin 'Gelombang Merah' akan memenuhi stadium nasional itu pada 11 Mei nanti.
Beliau menjelaskan UMNO meletakkan sasaran 100,000 ahli akan hadir ke perhimpunan raksaksa itu yang sepatutnya dibuat tahun lepas.
"Kita terpaksa menangguhkan sambutan yang sepatutnya dibuat tahun lepas akibat tragedi yang menyayat hati yang berlaku kepada dua pemimpin UMNO.
"Jadi tahun ini kita adakan sambutan ulangtahun ke 71, sepatutnya kita buat tahun lepas yang ke 70.
"Setiap negeri telah memberikan komitmen untuk menghantar ahli menyertai perhimpuna raksaksa itu dan kita yakin gelombang merah akan memenuhi stadium Bukit Jalil," katanya.
Sebelum itu, Najib mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).Mesyuarat yang bermula 8.30 malam itu membincangkan beberapa perkara antaranya persiapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
#keahlian UMNO #mendadak #Najib Razak #Perdana Menteri
;