Keahlian Idris Haron, Nor Azman dalam UMNO gugur secara automatik
Fareez Azman
Oktober 5, 2021 23:44 MYT
Oktober 5, 2021 23:44 MYT
MASJID TANAH: Keahlian UMNO Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan tergugur secara automatik di bawah Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.
Demikian jelas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika ditemui pemberita di Masjid Tanah pada malam Selasa.
Jelasnya, surat pelucutan keahlian yang bertarikh 5 Oktober itu akan diserahkan kepada kedua-dua wakil rakyat terbabit dalam tempoh terdekat.
"Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO. Seorang ahli UMNO yang cintakan parti, patuh perlembagaan tata etika ahli, dasar parti, menghormati keputusan parti kelihatan dah dilanggar.
"Fasal 20.11 seseorang ahli yang menang bertanding, tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai claon bebas DUN atau Dewan Rakyat akan gugur keahlian dengan sendirinya.
BACA: Kerajaan Melaka tumbang: Sokong PH, keahlian Idris Haron, Nor Azman dalam UMNO gugur - Ab Rauf
"Jadi, kedua-dua fasal ini dibaca bersama, maka Datuk Nor Azman dan Datuk Seri Idris Haron tergugur dengan sendirinya sebagai ahli UMNO bermula pada semalam," katanya lagi.
Terdahulu, Idris yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang dan Nor Azman yang merupakan ADUN Pantai Kundor menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Melaka bersama dua lagi ADUN bebas dan Bersatu pada Isnin.