Keahlian Anina Saadudin dalam UMNO digugurkan
Anthea Yap
September 1, 2015 20:09 MYT
September 1, 2015 20:09 MYT
Ahli UMNO Cawangan Kampung Padang Matsirat, Langkawi Anina Saadudin digugurkan keahliannya berkuatkuasa 2 September apabila tindakannya disifatkan melanggar Fasal 20.7 Perlembagaan UMNO.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan berkata, Fasal 20.7 Perlembagaan UMNO menjelaskan mana-mana ahlinya yang membawa perkara parti atau keahliannya ke mahkamah tanpa mematuhi sepenuhnya peraturan parti akan digugurkan keahliannya.
Beliau berkata, tindakan Anina membawa perkara parti ke mahkamah mengakibatkan keahlian di dalam parti gugur dengan sendirinya.
Minggu lalu, Anina memfailkan tuntutan saman terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa telah melakukan pecah amanah terhadap wang derma RM2.6 bilion.
Tuntutan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, Kuala Lumpur.