Keahlian ADUN Titi Serong gugur serta-merta jika terbukti - Bersatu

Bernama
Disember 12, 2020 23:39 MYT
Keahlian Hasnul Zulkarnain dalam Bersatu gugur secara automatik jika terbukti tidak menyokong usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak, dalam persidangan DUN pada 4 Dis lalu. - Gambar fail
LARUT: Keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dalam parti Bersatu gugur secara automatik jika terbukti tidak menyokong usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), 4 Dis lalu.
Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata telah termaktub dalam perlembagaan parti, sesiapa sahaja yang tidak bersama dalam agendanya maka keahlian akan gugur secara automatik.
"Mungkin lepas ini UMNO Perak akan hantar bukti-bukti kepada kita (Hasnul Zulkarnain tidak menyokong usul), kalau terbukti maka dia tergugur dengan sendirinya. Tindakan sama seperti yang kita pernah lakukan di peringkat nasional, tidak boleh bezakan bahagian atau negeri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan 'Bakul Kasih Amanah Ikhtiar Malaysia' Sahabat-Sahabat Larut di Selama, dekat sini, hari ini.
Beberapa portal berita memetik Hasnul Zulkarnain sebagai berkata beliau sedang menanti tindakan daripada Bersatu selepas didakwa menolak undi percaya terhadap Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak pada 4 Dis lalu.
Hasnul Zulkarnain menyertai Bersatu pada 3 Jun lalu. Sebelum itu, beliau merupakan wakil rakyat Bebas selepas meninggalkan Amanah pada 9 Mac susulan penjajaran politik di Perak yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pemerintahan daripada Pakatan Harapan (PH).
Selain itu, Hamzah, yang juga Ahli Parlimen Larut, berkata cadangannya supaya satu gagasan besar ditubuhkan bersama antara Gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dibuat berdasarkan fakta dan perasaan terbuka.
"Apabila saya lakukan ini, tidak timbul orang kata saya bangkitkan isu-isu ada 'orang kecil makan besar', kerana masing-masing ada tanggungjawab untuk damaikan dan satukan parti-parti yang ada," katanya.
Beliau mengulas reaksi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang berkata penubuhan gabungan selepas gabungan tidak diperlukan kerana ia hanya strategi survival untuk mendapat kekuatan daripada sokongan parti terbesar.
Sebaliknya, Mohamed Khaled berkata PN, BN dan GPS mesti membina kekuatan melalui undi dan mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU).
-- BERNAMA
#Hasnul Zulkarnain #Adun Titi Serong #keahlian gugur #Bersatu #usul undi percaya #Menteri Besar Perak #Hamzah Zainudin #Setiausaha Agung Bersatu #UMNO Perak
;