Keadaan akan terkawal walau apa juga keputusan PRN Sabah - Jaujan Sambakong

Ridzal Abdullah, Petrus Bernard
September 26, 2020 13:39 MYT
JAUJAN: Tidak akan berlaku sebarang perkara tidak baik, pengundi kita semua mematuhi semua peraturan. - Astro AWANI
Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr. Jaujan Sambakong berkata keadaan akan terkawal walau apa juga keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini tidak akan timbul isu bakal berlaku keadaan huru-hara selepas keputusan dikeluarkan.
Beliau yang juga bertanding di kawasan N.64 Sulayaban untuk mempertahankan kerusi tersebut berkata proses mengundi dan selepas mengundi dalam keadaan terkawal dan harmoni.
"Saya sendiri dari pulau ke pulau, ada 12 buah pulau pusat mengundi bagi kawasan Sulabayan ini... tidak ada masalah rakyat tidak ada provokasi berlaku... jerit-menjerit.. langsung tidak ada.
"Tidak akan berlaku sebarang perkara tidak baik, pengundi kita semua mematuhi semua peraturan pilihan raya," ujar beliau.
Sebanyak lebih 14,000 pengundi di kawasan Sulabayan yang melibatkan kawasan pulau besar seperti Pulau Bum-Bum.
Dalam pada itu, Jaujan berharap agar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar melihat isu kebajikan pengundi yang di kawasan kampung dan pulau yang terpaksa berbaris panjang dan berjemur kepanasan.
"Saya harap di masa akan datang benarkan agar disediakan pondok untuk pengundi, bukan apa kita kena fikir kalau pengundi warga emas, pengundi ada sakit , itu membahayakan mereka," kata beliau.
BACA: Ikuti perkembangan PRN Sabah di sini
LAPOR LANGSUNG: Hari penentuan di Sabah
#jaujan sambakong #Parti Warisan Sabah #PRN #PRN Sabah #sulabayan #Warisan
;