Keabsahan kerajaan negeri Johor dijelaskan hari akhir sidang DUN - MB
Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 12, 2021 13:37 MYT
Ogos 12, 2021 13:37 MYT
ISKANDAR PUTERI: Keabsahan kerajaan negeri akan dibuat Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad ketika ucapan penggulungannya pada hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Ucapan penggulungan itu kelak juga akan menjelaskan dan pendirian UMNO Johor berhubung sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hasni turut optimis dan yakin, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu faham dan tidak akan
menyentuh atau membahaskan isu panas.
"(Saya) yakin dan percaya wakil rakyat faham dan tidak akan sentuh perkara perbahasan yang panas, sebaliknya (memberi) tumpuan pada usaha menguruskan COVID-19 dan negeri.
“Saya berpendapat bahawa persoalan dengan keabsahan PM dri sudut saya sebagai ketua kerajaan perkara itu akan dijelaskan melalui dewan… ia akan dibuat semasa ucapan penggulungan.
“Sebagai seorang pemimpin perlu ada pendirian dan perlu nyatakan pendirian dengan jelas. Saya percaya jika kita letakkan kepentingan rakyat kita tidak akan hadapi kesukaran," kata Hasni.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ke-4 DUN Johor, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Pendirian itu dibuat selepas mendapat desakan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor susulan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik sokongan kepada kerajaan PN dan PM pada 3 Ogos lalu.